Monday 8 July 2013

TIGA DASAR UTAMA YANG DIMULAKAN OLEH DATO’ SRI NAJIB




            1.       Model Ekonomi Baru (MEB)

Model Ekonomi Baru yang lebih dikenali sebagai MEB telah dibentangkan oleh Perdana Menteri , Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010 di Persidangan Invest Malaysia 2010 di Kuala Lumpur. Ia menjadi tunjang penting kepada Malaysia yang sedang dibentuk dan akan menjadi struktur yang akan berkhidmat kepada masyarkat Malaysia pada masa akan datang. Di dalam melaksanakan Model Ekonomi Baru (MEB) ini, Dato’ Sri Najib telah menubuhkan satu badan bebas yang ditugaskan untuk mengkaji ekonomi negara secara terperinci iaitu Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) .

                        1.1    Prinsip MEB
Tiga (3) prinsip yang jelas telah ditetapkan yang akan menjadi penunjuk kepada pemikiran negara dan pembangunan MEB itu sendiri. Tiga prinsip yang ditekankan ialah mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi, bertunjangkan komitmen terhadap pertumbuhan yang mapan (kemampanan) dan keterangkuman (inclusive).

Pihak kerajaan berusaha mewujudkan MEB untuk negara antara lainnya berteraskan produktiviti pekerja yang bermatlamat membantu mereka meningkatkan pendapatan. Tiga (3) komponen utama MEB yang ada di dalam RMK-10  adalah Modal Insan, Modal Swasta dan Modal Sosial. Pekerja haruslah mempunyai kemahiran yang pelbagai dan berpengetahuan yang akhirnya akan melahirkan pekerja berinovatif yang mempunyai inovasi dan juga kreativiti. Pihak swasta juga memainkan peranan yang penting di dalam sumbangan ke arah kemajuan dan kemakmuran negara dan ianya tidak boleh dipertikaikan di mana sumbangan mereka memberi pelbagai faedah kepada kerajaan dan juga rakyat.

Dato Sri Najib menyatakan bahawa “ Prinsip MEB yang pertama adalah untuk mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi bermakna upah pekerja yang lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi disebabkan pertumbuhan bukan sahaja daripada modal, tetapi juga daripada produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenaam yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual.  Ekonomi hendaklah berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, mempunyai kemahiran yang pelbagai, inovasi dan juga kreativiti”.

Prinsip bertunjangkan komitmen terhadap penjanaan pertumbuhan yang mapan, bukan sahaja dipandang dari sudut prestasi ekonomi negara malah akan mengambilkira kesan pembangunan ekonomi ke atas persekitaran dan sumber asli. Kesannya akan dirasai oleh generasi yang akan datang sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat semakin terhakis. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan hendaklah selari dengan pemuliharaan alam sekitar. Prinsip MEB bukan sahaja mahukan rakyat memperolehi pendapatan yang lebih tinggi malahan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Prinsip melibatkan keterangkuman mengambil kira penggembelingan, potensi keseluruhan rakyat Malaysia, dan sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara. Ia adalah pra syarat utama didalam memupuk semangat kekitaan dan pemuafakatan. Di dalam MEB tidak ada satu kaum pun yang akan terpinggir di dalam menyumbang dan mengecapi hasil kekayaan seiring dengan kemajuan negara. Dari segi realitinya adalah agak mustahil untuk mencapai kesaksamaan di dalam ekonomi yang global namun ianya akan mewujudkan masyarakat yang berteraskan penyertaan bersama yang sudah pasti akan mewujudkan perpaduan dan integrasi sepertimana yang diinginkan  oleh pihak kerajaan selama ini.

2.       Konsep 1 Malaysia

Konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang berpaksikan prinsip “ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Konsep ini adalah bertepatan sekali dengan apa yang diinginkan oleh rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Matlamat konsep 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini mejadi kekuatan negara serta rakyat. Semua rakyat atau kaum di dalam Malaysia perlu mengutamakan kesetiaan dan meletakkan kepentingan negara sebagai pokok paling penting mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok mereka sendiri. Tanpa mengira kaum, agama, budaya, adat resam mahupun fahaman politik, semua kaum perlu wajib menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segala kesusahan atau atau kesenangan negara hendaklah dirasai bersama.

Dato’ Sri Najib Tun Razak pernah menjelaskan tentang konsep 1Malaysia, “ Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak kesemua kumpulan etnik dalam negara kita”. Ini bermakna rakyat Malaysia yang datang daripada pelbagai etnik atau kaum hendaklah berfikir melepasi sempadan kaum mereka masing-masing dan juga hendaklah melahirkan tindakan yang melepasi kepentingan etnik dan kaum mereka masing-masing sebagaimana visi gagasan 1Malaysia itu sendiri.

                        2.1    Visi Gagasan 1Malaysia

Visi Gagasan 1Malaysia adalah mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu. Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

                        2.2    Misi Gagasan 1Malaysia

Berpaksikan prinsip “ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”. Ia menekankan tentang kepentingan rakyat terlebih dahulu di mana ianya akan mewujudkan perasaan percaya rakyat terhadap kerajaan di dalam mentadbir negara di samping mendengar dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Pencapaian juga turut diutamakan iaitu dengan mencapai sasaran yang diletakkan dan kesannya akan memberi faedah kepada seluruh rakyat.

                        2.3    Prinsip Teras 1Malaysia
Konsep ini disandarkan kepada tiga teras utama di dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu Prinsip Penerimaan, Prinsip Kenegaraan dan Prinsip Keadilan Nasional.

Prinsip penerimaan membawa maksub walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza, mempunyai cara hidup yang berbeza, amalan dan kebudayaan yang berbeza, tetapi mereka menerima antara satu sama lain dan menjado rakan setia.

Prinsip Kenegaraan pula ialah penerapan semangat nasionalisme dan cintakan negara. Penerapan ini telah dibuat semenjeka dahulu lagi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman  melalui parti perikatan yang dipimpin oleh beliau bersama Tun Tan Cheng Lok dan juga Tun V.T Sambathan berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British. Di zaman Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Razak telah mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamat dan tujuannya adalah untuk menyatupadukan rakyat majmuk yang ada di negara Malaysia ini. Allahyarham Tun Hussein Onn yang digelar “Bapa Perpaduan” memang terkenal dengan usaha-usaha yang beliau lakukan di dalam memperkukuhkan ikatan perpaduan antara sesama kaum sehingga beliau digelarkan demikian. Seterusnya perjuangan tersebut diteruskan oleh Tun Mahathir Mohamad dan juga Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan membawakan dan memperkenalkan Wawasan 2020 dan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai satu usaha atau gagasan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan etnik.

Prinsip Keadilan Nasional pula membawa maksub bahawa setiap kaum atau rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang atau agama akan diberi keadilan yang sebaik mungkin samada dari semua segi samada kebajikan, sosial dan sebagainya. Melalui konsep ini juga setiap wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat akan bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kesemua kaum yang di bawah tanggungjawab mereka.  Namun begitu, dengan berpegang kepada prinsip keadilan sosial, konsep 1Malaysia bukanlah dibuka sebagai satu platform untuk sesetengah pihak membuat tuntutan yang keterlaluan atau sebagainya.

1Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina negara kita Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesaksamaan dan kekitaan di kalangan semua rakyat. Keupayaan membina satu negara bangsa bersandarkan kepada perkongsian nilai bersama.

3.       Bidang Keberhasilan Utama Nasional  (NKRA)

Terbahagi kepada enam (6) bidang keberhasilan Utama Nasional iaitu Mengurangkan Kadar Jenayah, Memerangi Rasuah, Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan, Memperkasa Prasarana Luar Bandar Dan Pendalaman, Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah  dan yang terakhir  Menambah Baik Pengangkutan Awam Dalam Jangka Masa Sederhana.
Enam (6) bidang NKRA ini diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada hari isnin , 27 Julai 2009. NKRA didefinisikan sebagai bidang utama negara di mana ia mewakili gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perhatian khusus.
NKRA ini diperkenalkan adalah bertujuan bagi memastikan elemen kebertangungjawaban yang serius wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Perdana Menteri mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dimaklum dan diketahui oleh setiap lapisan rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan di mana setiap NKRA akan diletakkan KPI dengan sasaran secara khusus agar ianya dapat diukur.

                        3.1    NKRA 1 : Mengurangkan Kadar Jenayah
Kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. NKRA ini dipecahkan kepada tiga (3) bahagian iaitu Jenayah Jalanan, Keselamatan Awam dan yang ketiga (3) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan.

Jenayah jalanan jalanan diberi penekanan kerana didapati ianya mendatangkan kesan yang buruk, trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga dan juga anggota masyarakat. Penumpuan juga diberikan kepada hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sediada seperti RELA akan diperkemas kini dan diberi latihan yang cukup serta lebih teratur. Pasukan sukarela ini juga akan dilibatkan bersama-sama dengan PDRM khususnya di dalam membenteras jenayah jalanan. Kemudahan-kemudahan juga akan ditambah disetiap balai-balai polis manakala bagi  menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan, proses perundangan akan dipercepatkan bagi kes-kes tertangguh.

                        3.2.   NKRA 2 : Memerangi Rasuah

Gejala rasuah harus dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index, meletakkan Malaysia di tangga ke 47 pada tahun 2008 berbanding pada kedudukan ke 39 pada tahun 2004. Dengan itu kerajaan telah beriltizam mengemaskini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan. Banyak langkah –langkah yang dibuat oleh pihak kerajaan termasuklah menaiktaraf badan pencegahan rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.


3.3    NKRA 3 : Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan
                     Berkemampuan

Memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Generasi Muda Malaysia perlu berilmu, berfikiran kreatif, berinovatif, A mempunyai ciri-ciri nilai murni serta mampu bersaing di peringkat global.

Kerajaan akan menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas sehinggalah ke peringkat yang tertinggi. Sekolah berprestasi tinggi akan diwujudkan daripada sekolah-sekolah yang akan dikenalpasti.

                        3.4    NKRA 4 : Meningkat Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan
                                                            Rendah

Kerajaan bertekad di dalam usaha membasmi kemiskinan tegar. Mengikut rekod e-kasih masih terdapat hamper 45,000 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negara. Dengan itu kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Rakyat juga turut dibimbing untuk menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar dan sebagainya.

                        3.5    NKRA 5 : Memperkasa Prasarana Luar Bandar Dan Pendalaman

Pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan juga pendalaman dengan perancangan membina kemudahan jalanraya dan sebagainya. Ini termasuk pembinaan jalan raya di Sabah dan juga Sarawak di mana hamper 2 juta penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak akan menerima faedahnya.

Kerajaan juga telah menetapkan bahawa liputan bekalan air dan juga bekalan elektrik  kepada Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan dari masa kesemasa. Kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin akan turut dilaksanakan di mana kerajaan akan membina dan membaikpulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung tahun 2012 di seluruh Malaysia.
           
                        3.6    NKRA 6 l : Menambahbaik Pengangkutan Awam

Malaysia telah melangkah sebagai sebuah negara maju dan dengan itu kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.  Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Dengan adanya NKRA rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan beliau secara adil, saksama dan sistematik tanpa berdasarkan emosi atau persepsi semata-mata.

NKRA merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan mandate rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.

2 comments: