Monday 8 July 2013

DEFINISI DAN CIRI-CIRI JIHAD DALAM ISLAM




            1.       Jihad Menurut Bahasa Dan Istilah
Perkataan Jihad adalah daripada bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran. Perkataan “Jihad” dalam bahasa Malaysia berasal daripada perkataan yang sama di dalam bahasa Arab. Dari segi bahasa, jihad yang disebut di dalam Al-Quran berasal dari kata ‘jahd’ dan ‘juhd’. Kata ‘jahd’selalunya diterjemahkan dengan makna sungguh-sungguh atau kesungguhan, letih atau sukar dan sekuat-kuatnya. Manakala kata ‘juhd’ biasanya diterjemahkan dengan makna kesanggupan, kemahuan, daya upaya dan kekuatan.
Apabila dipandang daripada kedua-dua sudut yang tersebut di atas maka bolehlah dinyatakan dari segi istilahnya bahawa jihad bererti mencurahkan daya tenaga dan kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia yang diredhai dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Menurut definisi syara’, jihad ialah seseorang muslim menyerahkan tenaganya untuk mempertahankan dan menyebarkan islam bagi mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T. 

Dalam islam jihad ialah perjuangan yang sungguh-sungguh untuk menegakkan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan di dalam konsep islam itu sendiri , jihad merangkumi korban kerana apabila seseorang berjihad dengan sendirinya bermaksub mengorbankan kepentingan diri sendiri dan mendekatkan lagi diri dengan Allah S.W.T. Di dalam Al-Quran, perkataan ‘jihad’ ini disebut lebih daripada 40 kali. Sebahagian daripadanya memberi erti berjuang pada jalan Allah dan mempertahankan agama islam secara umumya. 

Diantara ayat-ayatnya tersebut  adalah seperti firman Allah S.W.T di dalam surah Al-‘Ankabut yang bermaksub”…..Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami. Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah Al-‘Ankabut (29): 69). Keterangan ayat ini menunjukkan konsep dan kewajipan  jihad iaitu menggunakan segala bentuk tenaga dan kekuatan yang ada dalam diri samada dalam bentuk mental, fizikal dan material untuk melawan hawa nafsu, menentang kezaliman serta mempertanhankan diri, maruah, agama dan negara apabila dicerobohi oleh musuh. Firman Allah S.W.T di dalam surah At-Taubah ayat 88, “Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itu juga berjaya.”

            1.2       Ciri-Ciri Penting Dalam Pelaksanaan Jihad
Sesuatu jihad yang hendak diperjuangkan hendaklah mempunyai ciri-ciri yang jelas dan mestilah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara’. Diantara ciri-ciri yang benar dan perlu ada di dalam jihad ialah :-

                        1.2.1    Matlamat hendaklah kerana Allah S.W.T dan Rasul semata-mata
Segala tindakan dan pelakuan yang dilakukan di atas nama jihad hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan Rasulnya . Justru itu, segala tindakan yang matlamatnya selain dari itu tidak boleh dikatakan jihad. Malahan kalimah jihad seringkali dikaitkan dengan “Iman kepada Allah dan Rasulnya” yang menguatkan lagi bahawa segala tindakan atau pelakuan yang dilakukan di bawah kalimah jihad hendaklah semata-mata kerana Allah dan Rasulnya. Ikhlas kerana Allah dan Rasul adalah roh segala ibadah maka ibadah jihad sekiranya dilakukan keranaNya akan menjadi satu ibadah yang amat besar. Seorang pelajar yang belajar menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dengan niat ikhlas kerana Allah S.W.T untuk memperbaiki hidup diri dan keluarganya bolehlah dikatakan sedang berjihad dan menjadi satu ibadah serta mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah S.W.T.

Apabila setiap tindakan dan pelakuan yang dilakukan di atas dasar kerana Allah S.W.T dan Rasulnya sudah pasti ianya dilakukan dengan mengikut ketetapan dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.  Ibadah jihad yang dilakukan akan bergerak dan berada di landasan yang benar dan akan mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T.

                        1.2.2    Mencurahkan Daya dan Tenaga Kekuatan
Setiap jihad yang hendak dilaksanakan hendaklah memerlukan kepada usaha yang memerlukan kepada curahan daya tenaga dan kekuatan demi mencapai matlamat dan cita-cita islam , mendapat keredhaan, keampunan dan kerahmatan Allah S.W.T. 
Tidak dapat dinafikan sudah pasti setiap perkara kebaikan yang hendak dilakukan sudah pasti akan menempuh pelbagai halangan, cubaan dan juga dugaan yang sudah pasti memerlukan kepada kekuatan hati, jiwa dan juga fizikal bagi menghadapinya. Contohnya,  pelajar-pelajar yang sedang berjihad dengan jihad ilmu hendaklah sentiasa bersedia mencurahkan segenap daya dan tenaga mereka dengan bersungguh-sungguh di dalam menuntut ilmu yang dicari. Sudah pasti pelbagai pengorbanan yang terpaksa dilakukan samada dari segi pengorbanan harta benda, wang ringgit, tenaga, waktu, fikiran, melawan nafsu dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksub : “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami. Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Setiap jihad memerlukan pengorbanan kerana terpaksa menempuh pelbagai halangan dan terpaksa bersusah payah untuk mencapai cita-cita yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Kejayaan yang dicapai dengan pengorbanan akan lebih besar erti dan nilainya daripada tanpa pengorbanan. Berjihad beerti kita berjuang dengan cara mengorbankan apa-apa yang ada pada diri kita tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada makhluk lain tetapi hanya mengharapkan balasan daripada Allah S.W.T sahaja semata-mata.

                        1.2.3    Tidak Bersalahan dengan Nas-Nas Al-Quran dan Sunnah
Jihad yang hendak dilaksanakan hendaklah mengikuti dan tidak menyalahi dengan apa yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Sekiranya perlaksanaan jihad tersebut mempunyai unsure-unsur yang bertentangan maka ianya tidak boleh dikatakan sebagai jihad yang sebenar iaitu jihad yang dituntut oleh islam. Walau apa pun alasan yang diberikan sekiranya ianya adalah bersalahan dengan Al-Quran dan Sunnah maka kalimah jihad yang digunakan adalah tidak benar dan perjuangan yang dilakukan adalah sia-sia malahan akan mendapat balasan azab daripada Allah S.W.T.

1 comment: