Wednesday 4 December 2013

DASAR FISKAL (4)

4.0              KEBERKESANAN DAN KEKUATAN PERBELANJAAN KERAJAAN DAN CUKAI

Sepertimana yang telah diperbincangkan sebelum ini, alat dasar fiskal terbahagi kepada dua (2) iaitu perbelanjaan kerajaan dan cukai.

Dasar fiskal mengembang atau mengucup akan secara langsung mempengaruhi pendapatan agregat. Peningkatan perbelanjaan kerajaan (dasar fiskal mengembang) akan meningkatkan pendapatan agregat dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan (dasar fiskal mengucup) pula akan mengurangkan pendapatan agregat.
Manakala peningkatan cukai (dasar fiskal mengucup) akan mengurangkan pendapatan agregat dan pengurangan cukai (dasar fiskal mengembang pula akan meningkatkan pendapatan agregat. Perubahan dalam pendapatan agregat ini seterusnya akan mempengaruhi permintaan agregat. Dasar kewangan mengembang atau mengucup pula akan secara langsung mempengaruhi penawaran wang domestik (wang dalam edaran). Penawaran ini seterusnya akan mempengaruhi kadar bunga yang akan mempengaruhi tingkat pelaburan dan seterusnya tingkat pelaburan akan menentukan pendapatan agregat.

            Di dalam mengatasi masalah inflasi kerajaan akan menggunakan dasar kewangan mengucup dalam perbelanjaannya iaitu dengan mengurangkan perbelanjaannya  tetapi cukai akan dinaikkan kerana dengan kenaikan cukai ia akan mengehadkan perbelanjaan firma dan isi rumah.

            Di dalam mengatasi masalah pengangguran kedua-dua alat fiskal ini memainkan peranan yang amat penting dan berkesan di dalam mengawal atau mengatasi masalah pengangguran. Dasar fiskal  mengembang/ belanjawan kurangan  akan digunakan oleh pihak kerajaan di mana kerajaan akan menambahkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan cukai. Apabila perbelanjaan kerajaan bertambah maka ia akan mewujudkan peluang pekerjaan baru. Kerajaan juga boleh memberi pengecualian cukai kepada firma-firma dalam industri berpotensi dan berdaya saing .


            Pertumbuhan ekonomi yang positif akan merujuk kepada peningkatan pendapatan negara benar pada suatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya. Dalam usaha untuk memastikan ekonomi yang positif dan pendapatan negara meningkat maka kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal mengembang iaitu dengan menambahkan perbelanjaan dan mengurangkan cukai. Dasar ini amat berkesan kerana ia akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan akan mengurangkan kadar cukai pendapatan perseorangan dan akan meningkatkan perbelanjaan penggunaan.. Pengurangan kadar cukai juga amat penting kerana apabila kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan , ia akan meningkatkan keuntungan syarikat dan secara tidak langsung akan meningkatkan perbelanjaan pelaburan syarikat.

DASAR FISKAL (3)

3.0                          BAGAIMANA CUKAI KERAJAAN BERFUNGSI

Percukaian berperanan penting dalam perkembangan sistem ekonomi dan sosial negara dan tujuan utama kerajaan mengenakan cukai adalah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi perbelanjaan negara dan rakyat. Percukaian itu sendiri melalui proses perkembangan berterusan daripada satu sistem kutipan hasil secara mudah tanpa sebarang peraturan bertulis kepada satu sistem perundangan dan pentadbiran yang lebih kompleks. Kekuatan percukaian ialah ianya adalah salah satu mekanisme paling utama di dalam  mengumpulkan hasil daripada individu, syarikat atau entiti lain untuk membangunkan negara dan menyediakan pelbagai kemudahan awam bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat.
Cukai ditakrifkan sebagai sumbangan wang atau harta yang diwajibkan oleh kerajaan ke atas individu atau syarikat untuk membiayai perbelanjaannya ke atas kemudahan atau faedah lain yang dibekalkan kepada semua orang di dalam negeri.
Cukai terdiri daripada cukai langsung dan cukai tak langsung. Cukai langsung ialah cukai yang beban pembayarannya tidak boleh diagihkan kepada orang lain. Contohnya seperti cukai pendapatan perseorangan, cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan petroleum, duti setem dan juga cukai jalan. Manakala Cukai Tak Langsung pula ialah cukai yang beban pembayarannya boleh diagihkan kepada orang lain. Contohnya seperti duti import, duti eksais dan juga cukai jualan. Perubahan cukai meliputi perubahan terhadap struktur atau kadar cukai. Pihak kerajaan boleh menambah atau mengurangkan kadar cukai, memansuhkan cukai atau memperkenalkan cukai baru.

            3.1       Fungsi Mengawal Inflasi

            Semasa inflasi tarikan permintaan, kerajaan perlu menaikkan cukai untuk mengurangkan pendapatan boleh guna masyarakat dan ianya menyebabkan perbelanjaan penggunaan berkurang dan seterusnya menurunkan perbelanjaan agregat. Untuk mengurangkan peningkatan pendapatan individu dan mengawal inflasi, kerajaan perlu menaikkan cukai progresif dan cukai berkadar serta mengurangkan bayaran pindahan dan kenaikan kegiatan ekonomi dapat dikurangkan.
Dalam usaha untuk menutup lompang inflasi kerajaan akan menaikkan cukai untuk meningkatkan aliran bocoran dalam ekonomi. Langkah menaikkan cukai juga akan menurunkan perbelanjaan penggunaan yang seterusnya akan mengurangkan perbelanjaan agregat. Perbelanjaan agregat sebenar akan menurun sehingga sama dengan perbelanjaan agregat pada tingkat guna tenaga penuh dan lompang inflasi dapat diatasi.

            3.2       Fungsi Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi

                        Perubahan cukai dapat dilakukan ke atas cukai-cukai yang dikutip daripada individu atau firma.            Sekiranya kerajaan ingin menggalakkan sesuatu bidang berkembang dengan pesat, mereka sudah pasti akan mengurangkan cukai atau memberi pelepasan cukai kepada sektor-sektor terbabit. Contohnya bidang perkomputeran atau IT dan komunikasi. Di negara kita Malaysia dan malahan kebanyakkan di negara-negara membangun yang lain, mereka biasanya menghapuskan terus , atau memberi pelepasan cukai tahunan kepada sektor perkomputeran dan IT kerana ia akan menyebabkan kos barangan komputer menjadi murah dan seterusnya menggalakkan masyarakat atau rakyat menggunakan komputer serta internet.

            Bagi sesetengah negara mereka akan cuba mengurangkan cukai kepada produk elektronik seperti telefon bimbit tetapi mengenakan cukai yang tinggi kepada caj telekomunikasi seperti panggilan dan SMS. Kerajaan juga mungkin mengenakan cukai yang tinggi kepada barangan yang dianggap memberi kemudaratan kepada masyarakat seperti cukai terhadap arak dan rokok, atau pun barangan mewah. Bagi barangan mewah, pada anggapan kerajaan, barangan mewah hanya dibeli oleh orang kaya dan cukai terhadap orang yang berduit adalah penting untuk kerjaan menggunakan duit itu untuk membantu golongan yang miskin dan majoriti masyarakat. Cukai yang dikenakan terhadap barangan ini dianggap sebagai cukai yang tidak langsung, yang akan terkena kepada semua mereka yang membeli.

            Di negara-negara maju, cukai adalah sumber terpenting bagi menentukan pendapatan sesebuah negara. Sebab itu wang kerajaan lebih dikenali sebagai wang pembayar cukai, dengan kata lain, wang rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.
Cukai adalah hasil negara yang diperoleh daripada kerancakkan produktiviti ekonomi masyarakat. Cukai ini akan seterusnya diagihkan semua kepada masyarakat yang lebih memerlukan, untuk merancakkan semula ekonomi masyarakat, itulah pusingan roda ekonomi sesebuah negara.


            3.3       Fungsi Mengurangkan Pengangguran

                        Untuk menghadapi pengangguran, kerajaan akan mengurangkan cukai. Cukai yang lebih rendah akan menyebabkan pendapatan boleh guna rumahtangga bertambah dan dapat meningkatkan penggunaan. Ia juga menyebabkan keuntungan selepas cukai bertambah dan lebih banyak wang dapat digunakan untuk membuat pelaburan.
                        Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini semasa ekonomi meleset pendapatan individu cenderung menurun. Untuk mengurangkan kemerosotan pendapatan individu dan mengawal pengangguran kitaran, kerajaan akan menurunkan cukai progresif dan cukai berkadar serta menaikkan bayaran pindahan dan kesannya , perbelanjaan agregat meningkat.

DASAR FISKAL (2)

BAGAIMANA PERBELANJAAN KERAJAAN BERFUNGSI

Perbelanjaan kerajaan terdiri daripada perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Perbelanjaan mengurus ialah perbelanjaan semasa untuk membayar kos pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Di antara contoh perbelanjaan kerajaan emolumen (gaji kakitangan kerajaan), bayaran khidmat hutang serta pencen dan ganjaran.
Manakala perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan pelaburan oleh kerajaan terhadap projek pembangunan negara. Contohnya seperti pembinaan sekolah, empangan dan jalanraya, pernbelanjaan menaiktaraf kemudahan asas serta perbelanjaan meningkatkan pertahanan. 

2.1       Fungsi Mengawal Inflasi

Inflasi adalah kecenderungan meningkatnya harga-harga barang secara umum dan terus menerus. Kenaikkan harga satu atau dua barang tidak boleh disebut sebagai inflasi, kecuali jika kenaikkan harga barang itu mengakibatkan harga barang lain turut naik. Contohnya kenaikkan harga telur, sedang barang lain konsisten dan ini  tidak dapat disebut inflasi. Tetapi kenaikan harga minyak dapat mengakibatkan harga barang-barang lain menjadi naik. Kenaikan harga minyak ini dapat dimasukkan sebagai pemicu inflasi.

Inflasi boleh dipecahkan kepada tiga (3) bahagian iaitu Inflasi Tarikan Permintaan, Inflasi Tolakan Kos dan Inflasi Diimport.
Inflasi Tarikan Permintaan adalah kenaikan tingkat harga umum yang disebabkan lebihan perbelanjaan agregat berbanding dengan pendapatan negara atau lebihan suntikan berbanding dengan bocoran, pada tingkat guna tenaga penuh. Inflasi Tarikan Permintaan boleh ditunjukkan melalui lompang inflasi. Dalam usaha kerajaan mengurangkan lompang inflasi dasar fiskal mengucup akan dilaksanakan oleh kerajaan iaitu dengan mengurangkan perbelanjaannya bagi menurunkan perbelanjaan agregat dan mengurangkan kadar inflasi.

Semasa inflasi tarikan permintaan, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaannya untuk mengatasi lebihan perbelanjaan agregat pada tingkat guna tenaga penuh sehingga pendapatan negara sebenar sama dengan pendapatan negara pada tingkat guna tenaga penuh .

            2.2       Fungsi Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi

            Pertumbuhan ekonomi yang positif merujuk kepada peningkatan pendapatan negara benar pada suatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya. Pertumbuhan ekonomi yang yang positif berlaku apabila kerajaan melaksanakan dasar fiskal Mengembang, iaitu menambahkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan cukai. Pelaksanaan dasar fiskal mengembang akan membuat perbelanjaan kerajaan meningkat.

Dasar ini juga  sangat penting untuk memastikan perbelanjaan negara dapat disalurkan bukan sahaja kepada saluran yang tepat, bahkan pada masa yang sesuai. Ini adalah amat penting kerana ia akan menjamin berlakunya keseimbangan dalam perbelanjaan kerajaan. Di sini seimbang bermaksub, wujudnya perbelanjaan yang sama dengan pendapatan. Lebihan dalam belanjawan tahunan menunjukkan ada yang tidak kena dalam proses pengagihan kekayaan, manakala defisit dalam perbelanjaan juga menunjukkan kelemahan dalam pengurusan. Di sinilah pentingnya dasar fiskal yang baik untuk memastikan perbelanjaan yang berhemah oleh sesebuah kerajaan.

            Keseimbangan dalam belanjawan jangka pendek pula akan menentukan corak ekonomi sesebuah negara untuk jangka masa panjang. Sebagai contoh, kerajaan memberikan subsidi kepada rakyat dengan memotong harga beras, petrol dan beberapa barangan asasi di mana secara tidak langsung ia akan menambah pendapatan rakyat. Lebihan pendapatan ini akan dibelanjakan kepada sektor lain dan sektor ini akan menjada pendapatan. Hasilnya, berlaku pertumbuhan ekonomi jangka panjang dalam masyarakat. Dengan kata lain, akan berlakunya peningkatan dalam pendapatan negara (Gross Domestic Product) keranan bertumbuhnya sektor-sektor industri dalam masyarakat terutama untuk jangka masa panjang.

            2.3       Fungsi Mengurangkan Pengangguran

Pengangguran wujud apabila pendapatan negara sebenar kurang daripada pendapatan negara potensi. Perkara ini berlaku disebabkan kurangan perbelanjaan agregat berbanding dengan pendapatan negara atau kurangan suntikan berbanding dengan bocoran pada tingkat guna tenaga penuh. Pengangguran ditunjukkan oleh lompang deflasi.

Untuk mengurangkan lompang deflasi, dasar fiskal mengembang akan dilaksanakan oleh kerajaan iaitu dengan menambahkan perbelanjaan kerajaan, mengurangkan cukai atau menambahkan perbelanjaan kerajaan atau mengurangkan cukai secara serentak.


Pada masa berlakunya kadar pengangguran yang tinggi, kerajaan akan bertindak menambahkan perbelanjaan agregat supaya dapat menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi. Walau bagaimanapun, kebanyakan negara selalunya membuat pertimbangan yang teliti sebelum melaksanakan dasar ini disebabkan beberapa kesan buruk yang mungkin timbul. Hal ini berlaku kerana kerajaan terpaksa meminjam dan menambahkan hutang negara untuk membiayai peningkatan dalam perbelanjaan sedangkan pinjaman secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak akan menyebabkan berlakunya inflasi pula. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika kerajaan perlu meminjam daripada sumber luar negeri kerana jumlah matawang asing yang banyak perlu disediakan untuk membayar pinjaman dan faedahnya. 

DASAR FISKAL (1)

1.1              Definisi Dasar Fiskal

Dasar Fiskal atau dasar belanjawan ialah langkah-langkah kerajaan mengubah perbelanjaan kerajaan dan struktur pencukaian dalam usaha mempengaruhi tingkat perbelanjaan agregat dalam ekonomi. Dalam ayat yang lebih ringkas dasar ini merujuk kepada langkah atau tindakan kerajaan menggunakan cukai dan perbelanjaan kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi di mana apabila apabila berlaku kemelesetan ekonomi dan pengganguran kerajaan akan menurunkan cukai dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

            1.2       Objektif Dasar Fiskal

Dasar fiskal dijalankan bagi mencapai objektif kebajikan, pertumbuhan, pembangunan dan keseimbangan agihan harta. Dalam huraian sebelumnya telah dijelaskan bahawa dasar (polisi) fiskal merupakan dasar yang melibatkan hasil (percukaian) dan perbelanjaan kerajaan. Dengan kata lain, ia merupakan langkah mengubah corak perbelanjaan kerajaan dan sistem percukaian untuk mempengaruhi kedudukan ekonomi negara. Dasar fiskal yang berkesan boleh membawa kestabilan ekonomi serta langsung mengatasi masalah ekonomi seperti inflasi dan pengangguran.

1.3       Alat Fiskal dan Mekanisme
Alat Dasar Fiskal terbahagi kepada dua (2) iaitu Perbelanjaan Kerajaan dan Cukai. Mekannisme dasar fiskal juga terbahagi kepada dua (2) iaitu  Dasar Fiskal Automatik  dan Dasar Fiskal Budi Bicara.

1.3.1    Dasar Fiskal Automatik

Merupakan satu sistem yang sediaada dalam mana-mana kerajaan yang berubah secara sendiri mengikut situasi dalam ekonomi untuk mengurangkan kesan turun naik kegiatan ekonomi.  Ia melambatkan pengembangan apabila ekonomi berkembang dan melambatkan kemerosotan apabila ekonomi merosot. Alat Dasar Fiskal Automatik terbahagi kepada dua (2) iaitu Cukai Berkadar  & Cukai Progresif dan Bayaran Pindahan Kerajaan.

Cukai Berkadar & Cukai Progresif adalah cukai yang menyebabkan jumlah cukai yang dikenakan bertambah apabila pendapatan bertambah dan sebaliknya. Contoh: Semasa ekonomi melambung, pendapatan individu cenderung meningkat. Cukai Progresif akan mengawal kenaikan pendapatan individu iaitu dengan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi dan kesan daripada tindakan ini perbelanjaan agregat berkurang dan aktiviti ekonomi dikurangkan.

                        Bayaran Pindahan Kerajaan adalah bantuan kewangan kerajaan kepada rakyat. Contoh : Pewujudan Skim Elaun Pengangguran di mana semasa ekonomi meleset, ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan dan pengangguran meningkat. Dengan adanya skim ini kerajaan akan memberi bantuan kewangan secara tetap kepada penganggur sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan dan ini dapat mengurangkan kemerosotan perbelanjaan agregat akibat pengangguran tersebut.


1.3.2    Dasar Fiskal Budibicara merujuk kepada usaha kerajaan di dalam melakukan perubahan terhadap cukai dan perbelanjaan kerajaan dalam usaha mengatasi masalah ekonomi apabila dasar fiskal automatik sudah tidak berkesan. Terdapat tiga (3) cara untuk melaksanakan Dasar Fiskal Budi Bicara iaitu Mengubah Perbelanjaan Kerajaan Sahaja, Mengubah Cukai Sahaja dan Mengubah Perbelanjaan Kerajaan dan Cukai secara serentak.

CADANGAN JENIS STRUKTUR PERNIAGAAN YANG PALING SESUAI UNTUK PERNIAGAAN

Setiap bentuk perniagaan sama ada secara milikan tunggal, perkongsian ataupun syarikat berhad mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Ada sesetengah usahawan lebih suka menjalankan perniagaan secara milikan tunggal daripada mewujudkan perkongsian ataupun menubuhkan sebuah syarikat sendirian berhad dan apa yang penting adalah perniagaan itu dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Sekiranya seseorang itu masih baru dalam perniagaan dan perniagaan itu dimulakan sendiri dengan modal sendiri maka perniagaan secara milikan tunggal adalah lebih sesuai dan relevan untuk dipilih sebagai bentuk perniagaannya. Sekiranya ingin mencuba dahulu dan tidak berapa yakin dengan perniagaan yang dibuat bentuk Milikan Tunggal adalah yang terbaik. Kosnya yang rendah dan ramai yang membuka Milikan Tunggal ini berniaga secara kecil-kecilan dan sekiranya mereka tidak berminat, mereka akan tinggalkan perniagaan ini dengan begitu sahaja.

Sekiranya seseorang itu bermatlamat jauh dan mempunyai modal yang besar serta telah mencurahkan banyak usaha di dalam menaik dan memajukan perniagaan , Syarikat Sdn. Bhd adalah pilihan yang terbaik. Walaupun melibatkan kos yang agak tinggi namun ia mempunyai banyak kelebihan. Secara amnya perniagaan melalui Syarikat Sdn. Bhd kebanyakannya ditubuhkan bagi mereka yang serius dan mempunyai komitmen yang tinggi dengan perniagaan mereka.

Pada kebiasaannya , para usahawan memulakan perniagaan mereka dengan pemilikan tunggal dan seterusnya memperbadankan perniagaan tunggal mereka menjadi Syarikat Sdn. Bhd.  Seperti mana yang telah diperbincangkan sebelum ini ketiga-tiga entiti perniagaan mempunyai kelebihan dan kelemahannya masing-masing.

Di dalam kertas kerja ini saya memilih bentuk pemilikan tunggal sebagai permulaan memulakan perniagaan berdasarkan hujah-hujah berikut:-

            5.1       Merealisasikan Idea & Kreatif Sendiri

Usahawan berpeluang memajukan idea-idea sendiri yang berpotensi di dalam memajukan dan mempromosikan syarikat tanpa terikat dengan peraturan atau perlu mengikut tapisan-tapisan tertentu. Usahawan juga bebas berusaha di dalam merealisasikan cita rasa peribadi mereka tanpa ikatan & tekanan yang menjadikan usahawan lebih bermotivasi , terdorong dan komited dengan perniagaannya.

            5.2       Kebebasan Membuat Keputusan & Perubahan Kepada Perniagaan

Menjadi ketua sendiri serta bebas di dalam membuat keputusan mengikut pertimbangan sendiri dan ini amat berbeza sekali dengan bentuk perniagaan perkongsian dan juga syarikat di mana kedua bentuk perniagaan ini terikat dengan perjanjian serta peraturan yang telah ditetapkan. Pemilik tunggal juga boleh membuat perubahan bersesuaian mengikut perubahan persekitaran perniagaan mereka dan ini amat berbeza dengan peraturan, syarat-syarat serta perjanjian yang perlu diikut oleh perniagaan perkongsian dan juga syarikat korporat.

5.3       Pilihan Lokasi,  Kemudahan Fizikal & Berpeluang Membinan Imej dan Reputasi Sendiri.

Usahawan milikan tunggal bebas memilih mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai dengan perniagaan dan kemampuan serta bebas memilih reka bentuk & saiz premis, kapasiti dan tahap teknologi peralatan dan lain-lain kemudahan.
Sebagai pemilik tunggal, usahawan juga boleh membina imej tersendiri seperti mana yang dikehendaki. Berpeluang membangun reputasi di dalam menjadi uasahawan yang bijak serta cekap di dalam menjalankan perniagaan serta mendapat kepuasan daripada keputusan dan tindakan yang dibuat.

Selain daripada faktor-faktor di atas perniagaan pemilikan tunggal juga mempunyai kos penyelenggaraan yang agak rendah berbanding dengan syarikat Sdn. Bhd.  Di samping itu akaun perniagaan pemilik tunggal juga tidak perlu diaudit berbeza dengan syarikat Sdn. Bhd berhad di mana akaunnya perlu diaudit.

SYARIKAT

Oxford English Dictionary telah mendefinisikan syarikat sebagai penyatuan beberapa individu yang membentuk sebuah perbadanan bagi menjalankan satu objektif yang sama atau serupa, lazimnya untuk tujuan perdagangan. Seksyen 4 Akta Syarikat 1965 pula mendefinisikan syarikat sebagai syarikat yang diperbadankan mengikut Akta Syarikat 1965 atau mana-mana enakmen sebelumnya yang berkaitan. Syarikat adalah “an artificial being, invisible, intangible and existing only in contemplation of law” (Supreme Court Justice Johm Marshall, 1819). 

Dengan yang demikian, syarikat adalah terpisah dari entiti undang-undang terhadap individu yang menjadi pemiliknya. Syarikat boleh didakwa atau mendakwa atas namanya, bukan ahli-ahlinya. Melihat daripada segi perundangan, pemilikan dan jangka hayat, syarikat adalah entiti perniagaan yang bebas dan terasing, memiliki semua asset perniagaan dan jangka hayatnya tanpa had.
Selain itu, undang-undang menganggap syarikat-syarikat mempunyai status seperti seorang individu di mana ia dapat :
ü  Menyaman dan disaman oleh pihak tertentu.
ü  Membeli, memiliki dan menjual asset yang ia berhak ke atasnya.
ü  Membuat dan menjual barangan tertentu kepada pengguna.
ü  Menyediakan dan menawarkan perkhidmatan tertentu  kepada pengguna bagi mendapatkan bayaran tertentu .
ü  Didakwa di Mahkamah dan dihukum apabila melakukan jenayah dan sabit kesalahan.

Di Malaysia, organisasi perniagaan berasaskan kepada Akta Syarikat 1965. Akta ini menjadi undang-undang yang menguasai semua syarikat di Malaysia. Akta ini disahkan pada 15 April 1966 dan pernah diubah beberapa kali pada tahun 1969, 1971, 1985, 1986 dan terakhir pada tahun 1987.
Syarikat boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu Syarikat Persendirian, Syarikat awam, Syarikat berhad, Syarikat tidak berhad, Syarikat Induk/ anak syarikat dan Syarikat asing.

            4.1       Ciri-Ciri Syarikat Persendirian (Swasta)

Menurut Seksyen 4 Akta Syarikat 1965, sesebuah syarikat persendirian bermaksub mana-mana syarikat yang ditubuhkan sebagai syarikat persendirian di bawah akta pindaan bertulis atau yang diperbadankan sebagai syarikat persendirian di bawah Seksyen 15 Akta Syarikat 1965 atau yang ditukarkan  kepada syarikat persendirian mengikut Seksyen 26(1), yang merupakan sebuah syarikat yang tidak terhenti menjadi syarikat persendirian di bawah Seksyen 26 atau 27.
Menurut Seksyen 15 Akta Syarikat 1965 pula, di dalam memorandum persatuan sesebuah syarikat persendirian perlulah mengandungi perkara-perkara berikut :-

i)                    Membuat sekatan terhadap hak untuk memindahkan saham

Sub Seksyen ini menyekat syarikat persendirian daripada memindahkan syer-syernya. Walaubagaimanapun, ia tidak menjelaskan cara-cara untuk menyekat pemindahan syer-syer tersebut dan kebiasaannya, sekatan ini boleh dilakukan dengan dua (2) cara iaitu dengan memberikan kepada ahli-ahli yang lain (right of pre-emption). Ini bermaksub, sekiranya seseorang ingin menjual syernya, dia mestilah menawarkan syer itu kepada ahli-ahli lain terlebih dahulu dan sekiranya mereka menolak, barulah dia boleh menjualkannya kepada orang lain. Cara yang ke dua ialah dengan meletakkan syarat bahawa syer-syer hanya boleh dipindahkan dengan kebenaran Lembaga Pengarah Syarikat.
ii)                  Mengehadkan bilangan ahli-ahli syarikat tidak melebihi lima puluh (50) orang
iii)                Larangan untuk membuat cadangan kepada umum untuk menyumbangkan syer atau debenture
iv)                Larangan terhadap cadangan untuk mengambil wang deposit daripada orang ramai

Selain dari peraturan yang dinayatakan tadi, Syarikat Persendirian mesti mempunyai dokumentasi yang jelas mengenai peraturan dalaman untuk rujukan prestasi mengenai aktiviti perniagaan dan pimpinan untuk pelaksanaan yang lebih lanjut. Di antara keperluan yang perlu ada adalah seperti Setiusaha Syarikat (Company Secretary), Auditor Syarikat (Corporation Auditor), Cap (tanda) Syarikat (Corporation Seal), Surat Kuasa Wakil  (Power Attorney), Memorandum Syarikat (Memorandum Of Association), Lembaga Pengarah (Board of Directors), Pemegang Saham dan Pejabat berdaftar (Registered Office).

            4.2       Ciri-Ciri Syarikat Awam

Ia lebih dikenali sebagai syarikat berhad dan  menurut Seksyen 4 Akta Syarikat 1965, syarikat awam adalah sebuah syarikat yang selain dari syarikat  persendirian. Sesebuah syarikat awam itu terikat dengan beberapa peraturan yang berbeza dengan syarikat persendirian iaitu terutamanya  mengenai pemberitahuan berkenaan hal ehwal kewangan syarikat.

Syarikat awam mempunyai syarat-syarat yang lebih terperinci daripada syarat-syarat lain kerana syarikat awam dibenarkan untuk menerima  atau memperoleh wang daripada orang ramai. Ia menawarkan penerbitan saham-sahamnya kepada pelabur-pelabur awam dan institusi di Malaysia dan seterusnya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Misalnya , sesiapa sahaja yang mempunyai wang dapat membeli saham-saham Tenaga Nasional, Telekom, Celcom ataupun Maybank. Daripada segi teori sesiapa sahaja yang berkemampuan dapat membeli sebahagian saham syarikat-syarikat terhad seumpama ini bagi menguasai syarikat tersebut.

Syarikat awam juga tidak mempunyai perutukan maksimum mengenai bilangan keahlian sebagaimana  syarikat persendirian. Had umur bagi pengarah-pengarah syarikat awam adalah tujuh puluh (70) tahun menurut Seksyen 129 Akta Syarikat 1965.

            4.3       Ciri-Ciri Syarikat Berhad

Menurut Seksyen 4 Akta Syarikat 1965, syarikat berhad ditakrifkan sebagai syarikat yang dihadkan oleh saham atau jaminan atau kombinasi kedua-duanya sekali seperti Syarikat Berhad oleh saham, Syarikat Berhad oleh jaminan dan Syarikat Berhad oleh saham dan jaminan.

            4.4       Ciri-Ciri Syarikat Tidak Berhad

Syarikat tidak berhad adalah syarikat yang diperbadankan di atas dasar di mana tanggungan ahli-ahlinya adalah tidak terhad. Liabiliti ahli untuk menyumbang kepada syarikat di dalam kes penggulungan tidak terhad dalam apa cara sekalipun. Liabiliti ahli-ahlinya adalah seperti liability perkongsian tetapi yang lain adalah sama dengan ciri-ciri syarikat.

Syarikat jeinis ini boleh mempunyai atau tidak mempunyai modal syer dan modal syer ini boleh dikurangkan tanpa had kerana pemiutang boleh menuntut kepada harta peribadi agli. Seksyen 2 Akta Syarikat 1965, memperutukkan bahawa syarikat ini boleh ditukarkan kepada syarikat berhad atau sebaliknya tetapi pertukaran ini tidak memberi kesan terhadap hak, tanggungjawab dan tindakan undang-undang yang boleh diteruskan atau dimulakan sebelum penukaran itu dibuat.

            4.5       Ciri-Ciri Syarikat Asing

Seksyen 4 Akta Syarikat 1965 mendefinisikan syarikat asing sebagai suatu syarikat, perbadanan, pertubuhan, persatuan atau lain-lain badan yang diperbadankan di luar Malaysia ; atau suatu persatuan, pertubuhan yang tidak diperbadankan atau lain-lain badan yang mana di bawah  undang-undang tempat asalnya boleh mendakwa atau didakwa, atau memegang harta di atas nama setiausaha atau lain-lain pegawai badan atau persatuan yang dilantik dengan sewajarnya bagi tujuan itu dan yang tidak mempunyai ibu pejabat atau tempat perniagaan utamanya di Malaysia.

            4.6       Kelebihan Syarikat Korporat

                        4.6.1    Tanggungan Terhad

Kelebihan nyata yang paling jelas ialah pemegang saham mempunyai tanggunan yang terhad bergantung kepada pelaburan yang dilaburkan. Pemegang saham tidak bertanggungjawab atas mana-mana amaun hutang luar pegangan saham mereka dengan syarat tidak ada penipuan atau penyelewengan lain. Apabila syarikat tersebut mengalami kegagalan, maka segala tuntutan hutang oleh pemiutang hanya dapat dibuat ke atas asset syarikat berkenaan sahaja dan segala asset peribadi individu tidak boleh disentuh.

                         4.6.2    Kesinambungan Urusan Perniagaan

Pemindahan pemilikan boleh dipindahkan melalui penjualan saham kepada pembeli yang berminat dan pemindahan pemilikan adalah lebih mudah dilakukan. Saham-Saham yang dipegang oleh pemilik asal boleh dijual kepada orang lain, ataupun diserahkan kepada waris-waris beliau bagi meneruskan perniagaan tersebut. Dengan kata lain syarikat tidak perlu dibubarkan kerana syarikat mempunyai jangka hayat yang terpisah dan bebas dari pemilik dan syarikat boleh beroperasi dalam jangka masa yang tidak terhad.
                       
4.6.3    Mudah Memperoleh Modal Yang Besar

Kelebihan syarikat yang ke tiga ialah keupayaan mendapatkan pembiayaan tambahan daripada institusi kewangan ataupun menerbitkan saham baru bagi dibeli oleh pelabur-pelabur. Modal juga boleh diperolehi dengan mendapatkan pinjaman jangka pendek dengan menggunakan aset perniagaan atau jaminan peribadi dari pemegang saham majoriti.

Memandangkan syarikat mempunyai ciri-ciri tanggungan terhad, maka pelabur-pelabur individu berasa lebih selamat membuat pelaburan kerana apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas perniagaan tersebut, aset peribadi mereka tidak terjejas.

            4.7       Kelemahan Syarikat Korporat

                        4.7.1    Perwakilan Tidak Mencukupi

Pemegang saham majoriti di dalam syarikat akan berkuasa (outvotes) terhadap pemegang saham yang kecil. Ini adalah kerana kerana syarikat mempunyai ciri-ciri kesinambungan, maka pelabur-pelabur yang kukuh boleh pada bila-bila masa membeli saham syarikat tertentu pada satu jumlah yang besar. Apabila jumlah dibeli itu menjadikan pelabur tersebut pemilik saham terbesar, maka kini beliau adalah pemilik baru syarikat tersebut. Contohnya sepertimana yang berlaku kepada  Syarikat Celcom (M) Berhad, pada ketika itu Tan Sri Tajuddin Ramli adalah pemilik saham terbesar syarikat berkenaan. Pada pertengahan tahun 2002 pemilikan tersebut dibeli oleh Syarikat Telekom Malaysia (STM), sekaligus menjadikan STM sebagai pemilik baru Celcom. Dengan kata lain Tan Sri Tajuddin kehilangan pemilikan dan penguasaan ke atas syarikat yang beliau usahakan sejak sekian lama.

                        4.7.2    Modal Permulaan Yang Besar Dan Ikatan Peraturan

Memerlukan pelaburan modal permulaan yang agak besar berbanding yang diperlukan oleh perniagaan tunggal dan perkongsian. Keadaan lebih menyulitkan apabila pemilik syarikat perlu mematuhi banyak peraturan yang diwujudkan oleh kerajaan. Peraturan kerajaan yang banyak dan laporan diperlukan oleh agensi tempatan selalunya memberi kesan yang besar terhadap kertas kerja dan birokrasi.

                        4.7.3    Bayaran Cukai


Daripada segi cukai, syarikat mempunyai kelemahan kerana pemiliknya dikenakan cukai dua (2) kali. Cukai yang pertama adalah ke atas keuntungan yang diperoleh oleh syarikat. Cukai ini dipanggil cukai korporat. Apabila keuntungan syarikat selepas cukai sebahagian daripadanya dibahagi-bahagikan kepada pemilik syarikat dan pemegang saham yang lain, mereka dikenakan cukai ke atas pendapatan individu pula. Keadaan ini berbeza berbanding dengan kaedah pengiraan yang dibuat ke atas perniagaan tunggal.

PERNIAGAAN PERKONGSIAN (PARTNERSHIPS)

Entiti atau bentuk perniagaan yang ke dua ialah perniagaan ataupun syarikat perkongsian. Biasanya perniagaan ini digunakan oleh individu-individu dalam bidang profesional.

            3.1       Ciri-Ciri Perniagaan Perkongsian

Menurut Seksyen 3(1) Akta Perkongsian 1961 mendefinisikan perkongsian sebagai                “ perhubungan yang wujud di antara orang-orang yang menjalankan perniagaan bersama bagi maksub mendapatkan keuntungan”. Perniagaan perkongsian boleh ditakrif sebagai perhubungan antara dua atau lebih orang yang menjalankan perniagaan bersama untuk memperoleh keuntungan. Dalam kes Mollow, March & Co v. The Court of Wards, Sir Montague Smith menyatakan bahawa dalam perkongsian pihak-pihak dalam perkongsian itu mesti telah bersetuju menjalankan perniagaan atau berkongsi keuntungan bersama dengan cara tertentu.  Perjalanan sesebuah perkongsian adalah ditetapkan di bawah Akta Perkongsian 1961 dan ia juga tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Seksyen 14 Akta Syarikat 1965 memperuntukkan bilangan maksimum bagi perkongsian biasa ialah 20 orang dan bagi perkongsian yang mengamalkan profesion bilangannya boleh melebihi 20 orang.  Umumnya, bagi perkongsian yang melibatkan bank atau broker saham, bilangan rakan kongsi tidak melebihi 50 orang dan bagi perkongsian yang melibatkan sesuatu profession seperti peguam dan akauntan, rakan kongsi adalah tidak melebihi 50 orang.

Dalam perniagaan perkongsian ini setiap dari mereka akan menyumbangkan wang, buruh atau kemahiran dan setiap dari mereka berkongsi sama ada keuntungan ataupun kerugian yang dialami syarikat. Apa yang membezakan perniagaan perkongsian dan milikan tunggal adalah perkara yang melibatkan urusan guaman, di mana surat perjanjian perkongsian perlu dikeluarkan bagi menentukan sumbangan modal, agihan keuntungan, peranan dan tanggungjawab setiap rakan kongsi. Walaupun bukan suatu kemestian untuk menyatakan bahagian masing-masing secara bertulis, namun ia digalakkan kerana jika berlaku sesuatu, pihak mahkamah akan mengandaikan pembahagian keuntungan, kerugian, pengurusan aset dan lain-lain dibahagi secara sama rata KECUALI ia dinyatakan secara bertulis (perjanjian).

Dari segi tanggungan, setiap ahli bagi perniagaan berbentuk perkongsian adalah tidak terhad. Masing-masing akan bertanggungjawab ke atas segala hutang yang ditanggung oleh rakan kongsi yang lain. Seksyen 11 Akta Perkongsian 1961 memperuntukkan tanggungan setiap pekongsi adalah adalah bersama bagi setiap hutang dan tanggungan firma yang wujud semasa dia menjadi pekongsi. Jika pekongsi mati, hartanya akan bertanggungan berasingan terhadap hutang-hutang dan tanggungan ini, tetapi tanggungan berasingan ini tertakluk kepada semua hutang persendirian simati dijelaskan dahulu. Daripada segi cukai, setiap ahli akan dikenakan cukai pendapatan perseorangan. Perniagaan bentuk perkongsian ini adalah lebih kukuh daripada pemilik tunggal terutama daripada segi pengumpulan modal perniagaan, kemahiran dan pengalaman terkumpul serta pengagihan risiko yang ditanggung. Perniagaan bentuk perkongsian mempunyai ikatan yang lebih mantap dalam rundingan bagi mendapatkan pembiayaan daripada pihak luar.

Menurut kajian yang dibuat di Malaysia menunjukkan 13 peratus daripada jumlah perniagaan bumiputera didaftarkan sebagai perkongsian berbanding 34 peratus di kalangan perniagaan Cina dan di antara contoh syarikat perkongsian yang banyak terdapat di Malaysia adalah dalam bidang perakaunan dan guaman.

            3.2       Kelebihan Perniagaan Perkongsian

                        3.2.1    Perniagaan Cepat Berkembang
Kelebihan utama syarikat perkongsian ialah keupayaannya lebih cepat berkembang kerana wujudnya gabungan bakat dan modal dalam perniagaan tersebut. Lebih modal dapat dikumpulkan dan dapat digunakan kepakaran rakan-rakan kongsi yang berkemungkinan mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang berlainan. Pengkhususan kerja dapat dilakukan dengan adanya pelbagai kemahiran dan kepakaran tersendiri dari rakan-rakan kongsi.

                        3.2.2    Kesediaan Institusi Kewangan Menawarkan Pembiayaan

Bentuk perkongsian yang mempunyai ikatan yang mantap membuatkan institusi kewangan bersedia memberikan pembiayaan dalam bentuk pinjaman kepada syarikat perkongsian berbanding perniagaan tunggal.
                        3.2.3    Mudah ditubuhkan, Fleksibel dan Keuntungan Cukai

Sama seperti perniagaan tunggal, syarikat perkongsian perlu didaftarkan. Peraturan undang-undang dan perbelanjaan adalah sedikit jika dibandingkan dengan penubuhan syarikat. Dari segi fleksibilitinya perkongsian selalunya berupaya untuk memberi maklum balas dan keputusan dengan pantas untuk keperluan perniagaan. Manakala kelebihan daripada segi cukai, kebanyakan rakan kongsi membayar cukai individu dan dengan ini mereka terlepas dari cukai perniagaan yang tinggi.

            3.3       Kelemahan Perniagaan Perkongsian

                        3.3.1    Tanggungan Yang Tidak Terhad

Kelemahan utama perniagaan perkongsian ialah tanggungan yang tidak terhad sama seperti perniagaan milikan tunggal. Setiap rakan kongsi adalah bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan yang dibuat oleh rakan kongsi yang lain. Walaupun tanpa pengetahuan rakan kongsi yang lain, semua rakan kongsi adalah bertanggungjawab ke atas hutang piutang  yang dibuat oleh rakan kongsi yang lain.

                        3.3.2    Tiada Kesinambungan Perniagaan

Seperti perniagaan milikan tunggal, apabila salah seorang  ataupun lebih daripada seorang rakan kongsi meninggal dunia, gila atau mengundur diri syarikat perkongsian tersebut dengan sendirinya terbubar dengan sendirinya. Walau bagaimanapun operasi perniagaan boleh berjalan seperti biasa kerana rakan kongsi lain boleh mengambil rakan kongsi baru.

                        3.3.3    Berlaku Pertelingkahan Dalaman


Syarikat perkongsian jarang menyediakan garis panduan menyelesaikan sebarang pertelingkahan dalaman yang mungkin berlaku. Katakan ada rakan kongsi yang mahu keuntungan yang diperoleh dilaburkan semula bagi pengembangan syarikat tetapi rakan kongsi yang lain mahu keuntungan tersebut dibahagikan. Apabila setiap rakan kongsi mempunyai kuasa pembuatan keputusan yang sama, kemungkinan besar tidak ada jalan penyelesaian yang diperolehi. Ini boleh menyebabkan berlakunya keretakan hubungan antara rakan kongsi yang akhirnya syarikat perkongsian dibubarkan dan setiap rakan kongsi menggunakan peguam masing-masing bagi mendapatkan hak mereka semaksimum mungkin ke atas aset perniagaan yang ditinggalkan.