Tuesday 16 August 2011

KEUSAHAWANAN 2 (MENGENAL PASTI FAKTOR-FAKTOR PERSEKITARAN MAKRO YANG MEMPENGARUHI AKTIVITI PERNIAGAAN SYARIKAT


Memahami persekitaran makro atau persekitaran luaran di dalam menguruskan sesuatu perniagaan adalah sangat penting dan ianya akan menentukan kejayaan dan mempengaruhi keputusan sesebuah perniagaan yang diuruskan. Boleh dikatakan kesemua aspek yang melibatkan perniagaan akan dipengaruhi oleh faktor-faktor atau komponen-komponen persekitaran yang ada. Walaupun agak sukar dan tidak berkemampuan bagi usahawan untuk mengawal persekitaran yang ada namun sudah mencukupi sekiranya semua usahawan memahami faktor-faktor atau komponen-komponen persekitaran tersebut. 

Dunia perniagaan mempunyai empat (4) faktor persekitaran makro yang terpaksa dihadapi oleh semua perniagaan. Bagi memahami persekitaran ini analisis “PEST” iaitu singkatan bagi Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi boleh digunakan. Ada dua (2) kaedah terkenal yang sering digunakan di dalam menganalisa faktor-faktor persekitaran makro/luaran yang mempengaruhi sesuatu perniagaan iaitu “Pest Analisis” yang merangkumi Politik, Ekonomi, Sosial & Teknologi dan juga “Pestle Analisis” yang merangkumi Politik, Ekonomi, Sosial, Teknologi & Legal atau undang-undang.

            Faktor Persekitaran Politik Dan Perundangan
Sesungguhnya dunia perniagaan sekarang ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran politik dan perundangan . Ianya bukan sahaja persekitaran politik di negara sesuatu perniagaan itu beroperasi (National) malahan ianya turut dipengaruhi oleh persekitaran politik dunia keseluruhannya (Global).
Faktor politik dan perundangan boleh dipecahkan kepada dua (2) isu utama iaitu Isu Global dan juga Isu National.
 
                        -Isu Global
Sistem politik, Dasar-Dasar serta polisi-polisi sesebuah negara  adalah diantara faktor-faktor yang akan mempengaruhi strategi yang akan ditetapkan oleh sesebuah syarikat atau organisasi. Kajian sistem politik bagi negara-negara berkenaan hendaklah dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan bentuk sistem politik yang diamalkan. Boleh dipecahkan kepada tiga (3) elemen utama iaitu :-

                                    -Kestabilan Politik & Risiko Politik
Kestabilan sistem politik sesebuah negara boleh dikatakan satu faktor asas yang mempengaruhi strategi ataupun aktiviti-aktiviti perniagaan sesebuah syarikat. Namun begitu Syarikat atau organisasi hendaklah peka dan mengetahui bahawa kestabilan sesebuah negara itu tidak akan sentiasa kekal selama-lamanya. Sistem politik dan perundangan sesebuah negara kemungkinan berbeza maka dengan itu syarikat atau organisasi hendaklah sentiasa bersedia dan merangka pelan-pelan tindakan dengan mengambil kira potensi serta risiko yang terpaksa ditempohi oleh syarikat atau organisasi di masa hadapan.
Risiko politik boleh memberikan kesan yang dapat mempengaruhi perniagaan akibat tindakan politik oleh kerajaan negara tuan rumah. Diantara tindakan-tindakan yang boleh mereka lakukan ialah dengan memiliknegarakan semua syarikat subsidiari asing yang berada di negaranya tanpa membuat sebarang bayaran pampasan, mengenakan cukai korporat yang tinggi ke atas syarikat dan ada juga sesetengah kerajaan yang meletakkan syarat di mana sebahagian besar dari keuntungan syarikat asing yang beroperasi di negaranya hendaklah melaburkan semula keuntungan tersebut di negaranya malah keuntungan syarikat juga akan dikenakan cukai yang tinggi yang pasti akan menggurangkan keuntungan syarikat-syarikat yang terlibat.

                                    - Halangan Perdagangan Dan Tarif
Adalah menjadi lumrah dan kebiasaan bagi semua negara di dunia ini mengenakan halangan perdagangan bagi setiap barangan atau produk import yang akan memasuki negara mereka. Ianya adalah satu cara atau strategi bagi memastikan bahawa produk-produk atau barangan-barangan yang masuk tidak akan memberi kesan yang boleh menganggu pasaran atau industri  produk atau barangan yang sedia ada di dalam negara tersebut.
Halangan perdagangan boleh dibuat melalui pelbagai bentuk dan cara. Contohnya seperti pihak kerjaaan mengenakan tarif (cukai) pada barangan atau produk import. Biasanya tarif (cukai) yang dikenakan ini akan dibayar terus oleh pengimport.

 Ada juga sesetengah negara atau kerajaan mengenakan kuota pada produk import dengan membataskan kuantiti produk tersebut dari memasuki negara mereka. Selain daripada itu diantaran halangan-halangan perdagangan yang lain adalah seperti sekatan eksport, Embargo iaitu larangan kerajaan secara rasmi untuk mengimport atau mengeksport sesuatu barangan atau perkhidmatan dari atau ke sesebuah negara, penetapan piawaian, tarif (cukai) eksport iaitu cukai yang dikenakan terhadap barang yang dieksport, subsidi iaitu campurtangan perniagaan oleh kerajaan di dalam sesebuah negara dengan memberi subsidi kepada syarikat tempatan agar dapat bersaing dengan syarikat asing,  tarif transit iaitu cukai yang dikenakan oleh sesebuah negara terhadap barang yang singgah di negaranya sebelum ke destinasi dan lain-lain sekatan yang pasti akan menjadi faktor penghalang dan gangguan kepada setiap syarikat di dalam memperluaskan  lagi perniagaan mereka.
                                    -Perjanjian Perdagangan
Pelbagai blok dan organisasi perdagangan antarabangsa telah wujud bagi memupuk dan menggalakkan perdagangan dunia. Diantaranya adalah seperti AFTA yang membawa maksub Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN. Menurut Aini Hayati, M. et al. (2008) Penubuhan AFTA adalah untuk mempercepat pengurangan kadar tarif ke atas barangan industri melaui Tarif Keutamaan Berkesan Bersama (Agreement on Common Effect Preferential Tarff- CEPT) dan usaha untuk menarik pelabur menanam modal dengan memberi pelbagai insentif seperti melonggarkan cukai untuk melabur.

Diantara blok dan organisasi perdagangan yang lain adalah seperti WTO (World Trade Organisation), NAFTA (North American Free Trade Agreement), EEC (European Economic Community), EAEC (East Asean Economic Caucus), APEC (Asia Pasific Economic Cooperation), TPP (Trans-Pasific Partnership Agreement (TPP) Contohnya: Malaysia telah menjadi anggota penuh rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasific (Trans-Pasific Partnership Agreement (TPP). Ini telah membuka peluang bagi  meneruskan usaha untuk mengadakan FTA perdagangan istimewa (preferential trade) dengan rakan dagang dan sumber pelaburan yang penting iaitu Amerika Syarikat.
Perjanjian-perjanjian perdagangan ini akan memberi kesan kepada transaksi-transaksi perniagaan yang akan dijalankan oleh usahawan-usahawan.

            ISU NATIONAL
Apabila membincangkan tentang isu national, kita tidak dapat lari dari membincangkan tentang dasar-dasar dan polisi-polisi kerajaan, undang-undang, peraturan, kawalan, percukaian dan sebagaimya.

                        -Dasar-Dasar dan Polisi-Polisi Kerajaan
Syarikat juga hendaklah mengenalpasti dasar-dasar baru serta polisi-polisi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Rancangan Malaysia Ke-10, Dasar Luar Negara, Dasar Industri, Dasar Pengguna Negara, Dasar kewangan, NKRA (National Key Result Areas), NKEA (National Key Economic Areas)  dan sebagainya. 

                        -Undang-Undang, Peraturan dan kawalan
Undang-undang  meliputi peraturan-peraturan yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan contohnya seperti dalam merekabentuk produk dan perletakkan harga, penetapan harga terhadap barangan kawalan, pengiklanan, upah dan persekitaran tempat kerja serta rangka undang-undang yang diwujudkan yang memerlukan syarikat memenuhi atau mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Perniagaan juga dikawal oleh undang-undang perniagaan yang sediada seperti Undang-undang Kontrak, Undang-undang Jualan Barang-barang, Undang-undang Sewa Beli, Undang-undang Perkongsian, Undang-undang Syarikat, Undang-undang Perhubungan Majikan & Pekerja, Undang-undang Alam Sekitar, Undang-Undang Hak Cipta, Akta Syarikat 1965, Akta Perkongsian 1961 dan sebagainya.

                        -Percukaian
Secara ringkasnya cukai adalah suatu bayaran oleh seseorang atau sesebuah syarikat perniagaan kepada kerajaan kerana mengguna dan memperolehi kekayaan dan kemudahan negara. Bagi usahawan atau syarikat,  cukai-cukai yang ditetapkan oleh pihak kerajaan atau pemerintah akan mengurangkan kewangan atau keuntungan mereka. Percukaian boleh dipecahkan kepada tiga (3) bahagian iaitu cukai langsung, cukai tidak langsung dan cukai khas. 

Jenis-jenis cukai langsung adalah seperti cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan perseorangan, Duti setem, cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan koperasi, cukai keuntungan harta tanah dan sebagainya.

Jenis-jenis cukai tidak langsung adalah seperti cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai perjudian, duti import, duti eksport, duti eksais dan sebagainya.
Manakala cukai khas pula adalah seperti cukai tanah, cukai pintu, cukai jalan dan lain-lain lagi. 

            -Faktor Persekitaran Ekonomi
Di dalam merancang sesuatu transaksi perniagaan, usahawan-usahawan hendaklah peka dan prihatin terhadap sebarang perubahan ekonomi samada keadaan ekonomi tempatan ataupun ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana faktor ini boleh mempengaruhi operasi, prestasi, perancangan, pendapatan  serta dasar perniagaan sesebuah syarikat perniagaan.

Tiga (3) faktor utama yang memberi kesan kepada persekitaran ekonomi adalah seperti keadaan ekonomi, dasar-dasar  ekonomi dan juga sistem ekonomi di dalam sesebuah negara.

-Keadaan Ekonomi
Keadaan ekonomi sesebuah negara merujuk kepada faktor-faktor ekonomi yang memberi pengaruh besar dalam sesebuah syarikat dan operasi perniagaan mereka. Ini merangkumi faktor keluaran dalam negara kasar (KDNK), pendapatan perkapita, pasaran untuk barangan dan perkhidmatan, modal, rizab tukaran asing, pertumbuhan perdagangan asing, kekuatan dan lain-lain pasaran modal. Faktor-faktor ini akan membantu dalam meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara.   
                    
                        -Dasar-Dasar Ekonomi
Dasar-dasar ekonomi kerajaan adalah amat penting kepada usahawan dan perniagaan kerana dasar-dasar ini akan mempengaruhi kesemua aktiviti-aktiviti dan juga operasi-operasi perniagaan. Boleh dikatakan dasar-dasar baru ekonomi akan diwawarkan oleh pihak kerajaan dari masa kesemasa. Diantara dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah seperti Dasar Perindustrian Negara, Dasar Fiskal, Dasar Kewangan, Dasar Pelaburan Luar, Dasar Import-Eksport, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pertanian Negara, Dasar Penswastaan, Dasar Pensyarikatan, Dasar Pembaharuan dan Peningkatan Daya Pengeluaran Negara, Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2)  dan lain-lain lagi. 

                        -Sistem Ekonomi
Secara umumnya terdapat tiga (3) jenis sistem ekonomi yang sentiasa dibincang dan diamalkan oleh kebanyakkan negara di dunia ini iaitu Sistem Ekonomi Pasaran Bebas (berlaku di negara yang mengamalkan kapitalisme), Sistem Ekonomi Perancangan Pusat yang juga dikenali sebagai Sistem Ekonomi Terancang (berlaku di negara yang mengamalkan sosialis) dan Sistem Ekonomi Campuran (kebanyakkan negara di dunia mengamalkan sistem ini). Ketiga-tiga sistem ekonomi ini mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri yang akan memberi kesan kepada operasi syarikat dan syarikat itu sendiri.

            Faktor Persekitaran Sosial dan Budaya
Di dalam dunia perniagaan usahawan ataupun syarikat perniagaan tidak dapat lari daripada membuat penilaian terhadap persekitaran sosial dan budaya, tidak kira samada syarikat beroperasi di dalam negara atau pun di luar negara mereka. Jika syarikat beroperasi sebagai syarikat multinational maka lebih banyak lagi cabaran sosial dan budaya yang terpaksa difahami dan ditempuhi. Setiap masyarakat seperti masyarakat majmuk di Malaysia contohnya mempunyai nilai-nilai etika atau gaya hidup tersendiri mengikut bangsa, budaya dan agama. Kebudayaan yang berlainan mempunyai nilai-nilai, norma dan gaya hidup berlainan. Budaya juga merangkumi aspek-aspek kebendaan dan bukan kebendaan. Persekitaran budaya ini juga dipengaruhi oleh nilai-nilai asas, persepsi, kegemaran dan gelagat atau tabiat pengguna. Institusi seperti keluarga dan masyarakat  memainkan peranan yang penting di dalam mempengaruhi kesemua elemen-elemen ini.

Kepercayaan dan nilai asas yang dipegang oleh seseorang individu banyak dipengaruhi oleh masyarakat di mana ia dibesarkan. Perbezaan amalan sosial dan budaya masyarakat boleh dikatakan berbeza dalam setiap negara yang berbeza. Kita boleh melihat pengaruh serta kesan persekitaran sosial dan budaya  dari dua (2) aspek iaitu:-
                        -Aspek Demografi
Merangkumi ciri-ciri kependudukan, contohnya seperti umur, jantina, bilangan penduduk, kaum atau bangsa, taburan pendapatan, bandar atau luar bandar. Perubahan-perubahan ini akan membawa kepada perubahan pada permintaan, kuasa beli, sasaran, saiz pasaran dan sebagainya. Sebarang keputusan di dalam menjalankan perniagaan atau operasi perniagaan mestilah mengambil kira perubahan-perubahan ini.

                        -Aspek Budaya
Merangkumi cara hidup dan nilai sosial masyarakat, kepercayaan, bahasa yang digunakan, gaya hidup keluarga, perubahan citarasa pengguna dan lain-lain lagi. Elemen-elemen ini pasti akan mengubah pola permintaan dan ianya akan mempengaruhi keputusan-keputusan yang akan dibuat oleh syarikat atau usahawan.

            Faktor Persekitaran Teknologi
Menurut Aini Hayati, M. et al. (2008) ”teknologi merujuk kepada ciptaan baru dihasilkan oleh penyelidikan. Inovasi berlaku apabila sesuatu produk atau kaedah yang lebih baik ditemui daripada penyelidikan yang dilakukan...”.
Kemajuan persekitaran teknologi sesebuah negara adalah berbeza-beza diantara satu negara dengan negara yang lain. Setiap negara mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mencapai teknologinya yang tersendiri.  Perkembangan teknologi terutamanya teknologi maklumat yang pantas membangun pasti akan memberi kesan secara langsung kepada syarikat perniagaan. Contohnya seperti komputer dan telefon bimbit, merupakan satu inovasi dalam teknologi yang sentiasa mengalami perubahan. Pada mulanya komputer hanya digunakan untuk menggantikan mesin taip tetapi kini ia boleh menjadi alat pelbagai fungsi sehingga boleh menjadi alat pemain cakera padat samada untuk mendengar muzik ataupun menonton video dan begitu juga dengan perubahan yang berlaku kepada telefon bimbit.

Teknologi juga telah mengubah proses pengeluaran sesebuah syarikat. Dengan penggunaan mesin berteknologi tinggi dan canggih akan dapat mengurangkan kesilapan manusia dan menurunkan kos pengeluaran. Namun begitu teknologi juga boleh mengubah dan menghapuskan perniagaan ataupun industri yang sediada. Contohnya seperti syarikat pembuat dan pembekal mesin taip terbesar satu ketika dahulu iaitu Smith Corona Corp. Menjadi muflis apabila munculnya komputer.

Di dalam perniagaan,menurut Yusof, A.A & Yusof, Z. (2004) ”Tindakan sesebuah syarikat membawa masuk teknologi yang baru ke dalam negara yang mempunyai teknologi yang lebih rendah akan memberikan kesan kejutan kepada negara tersebut. Tindakan ini akan menyebabkan kesukaran kepada syarikat ataupun negara tersebut untuk saling menyesuaikan diri terutamanya jika perubahan/kejutan itu bertentangan dengan polisi atau objektif sebenar negara tersebut”. Perubahan ini akan mengakibatkan pembaziran dari segi masa, tenaga, wang dan juga sumber-sumber yang lain.

Boris Petrov (1982) menyatakan bahawa terdapat tiga kesan ekoran daripada perkembangan teknologi iaitu :-
            i.          Membawa perubahan di dalam satu-satu perniagaan yang dijalankan
            ii.         Membentuk pasaran dan segmen perniagaan baru
            iii.          Memberhentikan perniagaan yang dijalankan kerana kos yang tinggi diperlukan untuk menggunakan teknologi baru atau berlaku penyatuan beberapa syarikat bagi mengatasi masalah yang wujud.

KEUSAHAWANAN 1 (LIEOS TECHNOLOGY SDN.BHD)


Lieos Technology Sdn.Bhd (595072-D) adalah sebuah syarikat yang bertapak di Negeri Terengganu. Syarikat ini berstatus Bumiputera dan ditubuhkan pada 08hb Oktober 2002. Syarikat utama beralamat di No 16, Jalan Kampung Dalam, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu.

Sebelum itu, pemilik syarikat ini iaitu Puan Afiza Binti Khalit  telah pun menjalankan perniagaan tunggalnya dengan nama Lieos Technology bermula dari tahun 2008 lagi. Setelah membuat beberapa perangkaan dan strategi berdasarkan faktor-faktor kemajuan IT yang semakin pesat membangun, prestasi syarikat yang maju dan stabil, maka Puan Afiza Khalit telah menukar status syarikatnya dari perniagaan tunggal kepada sebuah Syarikat Sendirian Berhad. Syarikat Lieos Technology Sdn.Bhd telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia di bawah Akta Penubuhan Syarikat 1964 bernombor 595072-D.
Di dalam perkembangan IT terkini, keperluan produk IT bagi penggunaan harian telah memberi fokus kepada Lieos Sdn.Bhd untuk memfokuskan perniagaan di dalam “IT retailer”. Peneraju utama syarikat dan juga sebagai Pengarah syarikat  adalah Puan Afiza Khalit selaku pemegang saham terbesar syarikat iaitu sebanyak 55% pegangan saham manakala 45% lagi dimiliki oleh suami beliau En Azli Bin Abd Aziz yang juga berperanan sebagai pengarah syarikat Lieos Technology Sdn.Bhd.

Setakat kini Syarikat Lieos Technology Sdn.Bhd mempunyai kekuatan pekerja tetap yang berjumlah 20 orang kesemuanya dengan dibantu dengan beberapa pekerja sambilan di dalam memastikan mutu perkhidmatan dan semua perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan berjalan dengan lancar dan memberi kepuashatian kepada pelanggan-pelanggan.

Sebagai sebuah syarikat yang berwawasan, Lies Tecnology Sdn.Bhd mempunyai Visi & Misi yang telah diletakkan. Visi syarikat adalah untuk memastikan “penjenamaan brand “Lieos” sebagai Brand IT terkenal di pelusuk dunia”.
Manakala Misi syarikat pula ialah:-
            1.         Menjadi sebuah syarikat IT yang berdaya saing dan disegani
            2.         Menjadi anak melayu dan bumiputera yang Berjaya di dalam bidang IT
            3.         Melahirkan ramai usahawan-usahawan IT
            4.         Mengeluarkan produk penjenamaan sendiri yang mampu bersaing dengan
 syarikat-syarikat luar.
            5.         Menjadi salah sebuah syarikat franchisor melayu yang pertama dalam bidang IT

            1.1.      SKOP KERJA SYARIKAT
Dengan perkembangan teknologi IT dan permintaan yang semakin tinggi oleh pengguna-pengguna IT, Syarikat Lieos telah mengambil peluang ini dengan meluaskan lagi perniagaan ke beberapa cawangan di sekitar Terengganu. Dengan bertemakan “innovative, excellence and affordable”, produk-produk yang dipasarkan oleh syarikat mempunyai daya inovasi di samping harga yang berpatutan dan mampu milik yang pasti akan mendorong syarikat Lieos menjadi sebuah syarikat bumiputera yang cemerlang dan dikenali.

Diantara aktiviti-aktiviti perniagaan yang dijalankan adalah seperti berikut:-

            1.         MEMBEKAL, MENGEDAR & MENJUAL
-Komputer Peribadi, Server dan Komputer Riba
-Projektor Multimedia
-Aksesori Komputer dan Perkakasan Multimedia 
Pencetak & Pengimbas (Printer & Scanner)
2.         MEMASANG, MENGUJI & MENTAULIAH
-Komputer Peribadi, Server dan Komputer Riba
-  Rangkaian (LAN, WAN, Fiber Optic)
-  Perkakasan Multimedia
3.         SEWA / GUNA PAKAI
-Komputer Peribadi dan Komputer Riba
-  Projektor Multimedia
-  Bilik Seminar
-  Makmal Komputer (Lengkap dengan LAN & Talian Streamyx)
4.         LAIN-LAIN PERKHIDMATAN
-Membangunkan Portal / Laman Web
-  Kursus –Kursus IT
-  Latihan Komputer & Multimedia
-  Khidmat Nasihat
-Kontrak

Dengan perkembangan produk serta perkakaksan IT dan jenama-jenama komputer baru dari luar negara, Syarikat Lieos tidak ketinggalan di dalam menjalinkan hubungan kerjasama dan telah mendapatkan kelulusan bagi membekal serta mengedar kepada pihak pengguna. Syarikat Lieos telah mendapat “Authorized Dealer dari Acer, HP, Lenovo, Toshiba, Fujitsu dan Asus bagi memasarkan produk mereka.
 Syarikat Lieos juga telah mendapat pengiktirafan sebagai M-Premium partner bagi produk berjenama “CANON” dalam bidang percetakan. Disamping itu juga Syarikat Lieos juga telah dilantik sebagai “Authirized Comsumable” bagi produk Canon dan HP.
Di dalam memastikan peluasan pasaran produk-produk dan perkhidmatan, Syarikat Lioes juga telah berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pendidikan, Telekom Malaysia Berhad , Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Yayasan Islam Terengganu, UMT, UDM,UTM, Polis Diraja Malaysia dan banyak lagi agensi-agensi lain.

            1.2       PENJENAMAAN PRODUK (BRANDING LIEOS)
Dengan teknologi ICT yang pantas dan pertumbuhan pesat, Syarikat Lieos telah merancang bagi mengeluarkan produk sendiri terutama dalam perkakasan peralatan computer. Syarikat Lieos telah  mencuba mengeluarkan beberapa “produk ujian” bagi mengetahui bagaimana sambutan bagi produk berkenaan. Antara contoh produk yang telah dikeluarkan ialah:-
-Ltec Optical Mouse (2000 kuantiti)
-  Lieos Canon Refill Ink (1000 kuantiti)
-  Lieos HP Refill Ink (1000 kuantiti)
-  Lieos Lexmark Refill Ink (1000 kuantiti)
-  Lieos Mouse Pad (2000 kuantiti)

Kini Syarikat Lieos mengambil langkah yang lebih teliti bagi mengeluarkan produk sendiri di samping merancang untuk membina rangkaian franchise di bawah kelolaan Agensi Badan Berkanun di bawah Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah iaitu MARA dan SME Bank. Dengan konsep Mentor & Mantee, Syarikat akan dapat melahirkan bakal-bakal usahawan IT terutamanya di kalangan siswazah menganggur serta penganggur yang minat dalam bidang IT .
Selama 11 tahun beroperasi banyak anugerah-anugerah yang pernah diterima oleh Syarikat Lieos Sdn.Bhd. Di antara anugerah-anugerah yang pernah diterima ialah :-
-Anugerah Usahawan Terengganu 2008
-  Pencalonan AURA Usahawan Peringkat Kebangsaan 2006
-  Anugerah Belia Negara 2007 (Peringkat Negeri Terengganu)
-  Anugerah Penyewa Premis Terbaik-MARA 2004
-  Percalonan Akhir Usahawan Peringkat Kebangsaan KPun 2003
-  Anugerah Penghargaan Usahawan Negeri Terengganu 2002