Monday 8 July 2013

JIHAD



Jihad adalah salah satu istilah yang amat mulia dan agung dalam islam serta sering mencetus kontroversi (salah faham dan fitnah) oleh masyarakat umum samada daripada golongan . anti-islam mahupun daripada golongan islam itu sendiri. Apabila didengar atau disebut sahaja perkataaan jihad pasti ramai yang yang akan membayangkannya sebagai perjuangan membela agama, bangsa dan negara dengan menggunakan kekerasan dan keganasan. Hasil dari itu, islam dilihat oleh sesetengah pihak sebagai menggalakkan keganasan dan secara tidak langsung ianya memberi impak yang negatif terhadap kesucian islam itu sendiri kerana dipandang sinis oleh masyarakat. Malahan sejak akhir-akhir ini islam sering sahaja dikaitkan dengan keganasan dan permusuhan  dan seolah-olah menjadi lumrah pengajaran islam itu sendiri.
Jihad adalah satu ibadat yang sangat mulia dan disanjung tinggi. Pada dasarnya konsep jihad amatlah luas dan membawa pengertian yang pelbagai. Allah dan Junjungan Besar Kita Nabi Muhammad S.A.W sering mengaitkan kalimah jihad dengan istilah iman dan hijrah. Ini menunjukkan kekuatan iman seseorang itu terletak pada kesediaannya untuk berjihad dan berhijrah meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh Allah. 

Jihad merupakan satu kewajipan kepada bahu setiap orang islam dan ianya haruslah berterusan sehinggalah ke hari kiamat. Tanpa jihad orang-orang islam akan terdedah kepada kekejaman, kehinaan, ditindas dan diperbodohkan. Malahan jihad dapat membuktikan atau memberi kehidupan yang mulia kepada orang-orang islam di dalam usaha menegakkan agama Allah dan tanpa jihad, dakwah islam pasti tidak akan tersebar dengan luas dan berjaya. Firman Allah S.W.T di dalam surah As-Saff, ayat 10 hingga 11 yang membawa maksub        “ Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, iaitu kamu beriman dengan Allah dan RasulNya dan kamu berjihad dijalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu; itulah yang lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui” (As-Saff:10-11).

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sebenarnya konsep jihad adalah  luas dan telah membawa banyak pengertian dan di antaranya adalah seperti jihad melawan hawa nafsu, menuntut ilmu, jihad hati, jihad harta benda, jihad mempertahankan maruah diri dan sebagainya. Ianya dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan contohnya seperti pengorbanan dan perjuangan seorang pelajar di dalam menuntut ilmu pengetahuan dan mengamalkan ilmu tersebut kepada perkara yang baik dan mencegah dari melakukan perkara mungkar. Dengan itu konsep jihad hendaklah dan perlu difahami dengan lebih mendalam agar masyarakat tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah atau anasir-anasir yang mencari dan mengambil kesempatan  di dalam usaha memburukkan islam melalui konsep jihad ini.

Justru itu kertas kerja ini akan membincangkan  tentang pengertian jihad yang sebenarnya serta meliputi ciri-ciri pelaksanaan jihad itu sendiri. Kertas kerja ini juga akan membincangkan dan mengenalpasti bentuk-bentuk jihad di dalam islam dan bagaimana untuk mengaplikasikan jihad dalam masyarakat mengikut keadaan dan situasi yang ada pada masa kini.  Akhirnya adalah diharapkan agar hasil kertas kerja ini akan meletakkan jihad di tempat yang sebenarnya, difahami dengan sebenarnya oleh semua masyarakat dan memandang kalimah jihad sebagai satu kalimah yang istimewa dan bukannya kalimah keganasan atau peperangan.

No comments:

Post a Comment