Monday 8 July 2013

KEPENTINGAN DAN KELEBIHAN PELAKSANAAN JIHAD




            1.       TIGA (3) KEPENTINGAN JIHAD

                        1.1    Menyebarkan Agama Allah (Dakwah)
Melalui jihad kita menyebarkan dakwah islam agar tersebar ke seluruh alam maya ini. Islam sebagai agama dakwah mengharuskan untuk melaksanakan dakwah agama kepada orang lain. Melaksanakan dakwah adalah sebahagian daripada pelaksanaan jihad itu sendiri iaitu berjihad dengan menyeru umat manusia kepada mengerjakan kebaikan, amal soleh (amar ma’ruf) dan meninggalkan kejahatan, maksiat (nahi mungkar). Firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksub : “ Dan hendaklah ada diantara kami satu golongan yang menyeru ke jalan kebaikan dan menyuruh yang makruf (kebajikan), serta menegah yang mungkar (kejahatan) dan mereka itu adalah orang-orang yang berjaya”.
Memang tidak dapat dinafikan tugas menyebarkan dakwah adalah amat berat terutamanya di dalam arus globalisasi dunia hari ini. Pelbagai cabaran terpaksa dilalui dan ditangani oleh umat islam khususnya pendakwah islam itu sendiri. Maka semangat jihad yang ada telah memberikan semangat dan kekuatan kepada umat islam di dalam menyebarkan agama Allah yang suci ini. Apabila sesuatu pelaksaan jihad yang dilakukan itu disandarkan kepada Allah dan RasulNya semata-mata maka sudah pasti setiap seruan dakwah kepada agama Allah dibuat dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan dengan pengajaran yang baik agar ianya tidak memberi gambaran yang tidak baik dan disalah ertikan oleh masyarakat bukan islam mahupun masyarakat islam itu sendiri. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksub : “ Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah, kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”.

                        1.2.   Penyerahan Diri Kepada Allah
Menyandarkan jihad sebagai penyerahan diri kepada Allah S.W.T dengan bertauhid, mentaati, tunduk dan patuh kepada perintahNya. MentaatiNya dengan menjalankan perintah-perintahnya dan menjauhi segala larangannya di mana ketaatan itu wujud dalam melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Firman Allah S.W.T melalui surah Ali-Imran ayat 83 yang bermaksub : “…padahal kepadaNya menyerah diri, segala apa yang dilangit dan dibumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan”.

                        1.3    Membela Agama Allah
Melalui jihad juga kita dapat mempertahankan islam merangkumi juga membenteras sebarang pergerakan, usaha dan rancangan untuk memutarbelitkan ajaran islam yang sebenar melalui pelbagai aspek, atau menghancurkan akidah orang-orang islam samada secara terang-terangan mahupun berselindung. Firman Allah S.W.T di dalam surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksub : “ Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

Ummat islam mestilah peka dan menyedari akan propaganda yang ditimbulkan oleh musuh yang menggunakan pelbagai taktik di dalam usaha untuk menghancurkan aqidah orang-orang islam samada melalui penulisan atau kajian tentang islam itu sendiri, melalui serangan pemikiran, ekonomi mahupun budaya hidup. Dengan adanya jihad dihati setiap orang-orang islam maka perjuangan di dalam mengembalikan integriti islam sebagai agama yang sebenar dan mentauhidkan Allah akan sentiasa hidup dan dilaksanakan. Jihad boleh dilakukan melalui kata-kata, ilmu, penulisan dan  ekonomi adalah amat sesuai apabila dilihat kepada keadaan dan situasi yang pada alaf kini.


            2.       TIGA (3) KELEBIHAN JIHAD

                        2.1    Perniagaan Yang Menguntungkan
Merujuk kepada Firman Allah S.W.T melalui surah al-Saff yang bermaksub : “ Wahai orang orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu,  dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman (al-Saff 61: 10-13)

Ayat di atas Allah S.W.T telah mengumpamakan jihad sebagai satu “perniagaan” kerana adalah satu kelaziman manusia untuk mencari satu perniagaan yang dapat menguntungkan mereka dan memelihara mereka daripada kesusahan. Maka dengan itu Allah S.W.T menerangkan bahawa tiada perniagaan yang lebih menguntung dan menyelamatkan di dunia dan di akhirat melainkan amalan jihad di jalan Allah.

                        2.2    Diampunkan Dosa-Dosa, Diberi Ganjaran Pahala &  Syurga
Merujuk kepada Firman Allah S.W.T dalam surah al-Saff, ayat 10-13 seperti dinyatakan sebelum ini, Allah telah menjanjikan ganjaran yang amat besar kepada orang-orang yang berjihad (mujahid). Dosa-dosa mujahid akan diampunkan ,dijanjikan pahala dan  syurga oleh Allah S.W.T .

                        2.3    Mendapat Pertolongan dan Bantuan Allah S.W.T
Mereka yang berjihad kepada jalan Allah telah dijanjikan pertolongan olehNya. Merujuk kepada Firman Allah S.W.T di dalam surah al Saff ayat 13 seperti yang dinyatakan sebelum ini. Allah menjanjikan pertolongan dan kemenangan yang tidak disangka-sangka kepada mereka yang berjihad. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksub : “ Dan orang-orang yang bersungguh kerana memenuhi kehendak agama kami. Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. Ayat ini menerangkan bahawa mereka yang berjihad kepada jalan Allah akan dipimpin oleh Allah ke jalan yang benar (kejayaan), mendapat rahmat serta  pertolongan dan bantuan Allah akan sentiasa disamping mereka yang berjihad.

2 comments: