Monday 8 July 2013

BENTUK-BENTUK JIHAD DALAM ISLAM




Berdasarkan nas-nas Al-Quran terdapat dua (2) pembahagian besar terhadap jihad iaitu yang Pertama; Jihad Agong iaitu jihad ke atas nafsu serta menentang tipu daya syaitan dan yang Kedua; Jihad kecil iaitu meliputi bentuk-bentuk jihad yang lain seperti jihad dengan hati (berdoa), jihad dengan lisan (nasihat dan tutur kata) atau penulisan , jihad dengan ilmu dan pelajaran (memberi/mencari pengetahuan), jihad dengan harta dan seterusnya jihad dengan tubuh badan dan nyawa.

            1.       JIHAD NAFSU
Jihad melawan hawa nafsu adalah jihad yang paling tinggi sekali darjat di sisi islam. Melaluinya seluruh tenaga disalurkan supaya menuruti/mengikuti jalan atau ketetapan yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Jihad nafsu bermaksub jihad untuk membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan keji untuk diganti dan diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.

Dengan kata lain, jihad hawa nafsu merupakan jihad untuk mentaati Allah S.W.T, patuh dan tunduk pada perintahnya sepanjang masa. Tergolong dalam Jihad Agung kerana medan perjuangannya yang amat luas, tidak terbatas dan terhad bagi menangkis musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Termasuk juga di dalam jihad melawan hawa nafsu adalah jihad melawan hasutan syaitan. Menurut Ibn Al-Qaiyim, jihad ini dapat dilakukan dengan dua (2) cara iaitu, Pertama : dengan cara menolak bisikan yang dilemparkan ke dalam hati, samada perasaan was-was, syak wasangka atau keraguan yang boleh mengoncangkan keimanan seseorang. Kedua: dengan melawan hasutan atau bisikan syaitan di dalam hati yang sentiasa mengajak melakukan perbuatan maksiat dan mungkar. 

Dalil yang boleh dikaitkan dengan jihad melawan hawa nafsu  adalah seperti dalam surah as-Syams ayat 7-10 yang bermaksub : “ Dan demi jiwa serta penyempurnaan penciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketakwaan. Sesesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”.
Dengan kata lain perjuangan ini adalah perjuangan dalam diri setiap orang muslim di mana berjuang melawan hawa nafsu agar ia tunduk dan patuh untuk beramal kepada ajaran islam yang sebenar. Jihad ini menuntutkan kepada jihad yang berpanjangan dan ianya adalah jihad fardu ain ke atas setiap orang islam. Apabila setiap muslim gagal menundukkan hawa nafsu mereka untuk berbakti kepada Allah S.W.T maka adalah mustahil bagi mereka untuk berdaya memerangi musuh yang berada diluar, kerana mereka masih terkongkong oleh nafsunya sendiri.

           2.       JIHAD ILMU
Jihad ini merangkumi tiga (3) maksub yang utama iaitu yang pertama, berjihad untuk mempelajari petunjuk (ilmu yang bermanafaat), agama yang sebenar (amal soleh) dan tanpa mencari dan mempelajari ilmu sudah pasti orang islam tidak akan mencapai kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Kedua, berjihad untuk mengamalkan ilmu setelah mengetahuinya dan yang ketiga, berjihad untuk menyampaikan ilmu (dakwah) dan mengajarkannya kepada mereka yang belum mengetahui.
Melalui jihad ilmu, manusia diminta untuk mencari ilmu pengetahuan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Memiliki ilmu pengetahuan, samada ilmu agama mahupun ilmu pengatahuan yang lain sangatlah dituntut di dalam islam. Pada pandangan islam, jihad ilmu dianggap sebagai satu aspek yang suci dan mempunyai mertabatnya yang tersendiri.
Melalui jihad ilmu, ilmu pengetahuan yang diperolehi diibaratkan sebagai lampu penyuluh ataupun cahaya yang akan menyuluh kegelapan di mana seseorang tidak akan dapat berjalan di dalam gelap tanpa bantuan cahaya lampu tersebut. Jikalau dilihat dari segi realiti sekarang ini, ia adalah seperti seseorang yang membezakan perbuatan yang baik dengan yang buruk hanya dengan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari.
Jihad ilmu juga telah dibuktikan melalui tinggalan sejarah perjuangan Rasullullah s.a.w di mana baginda menganjurkan pencarian ilmu sehingga jauh ke negeri lain. Islam tidak hanya mewajibkan seseorang itu menuntut ilmu, tetapi menghendaki juga agar seseorang itu agar terus menerus melakukan usaha pencarian belajar atau lebih tepat lagi sebagai proses jihd ilmu.

            3.       JIHAD WANG DAN HARTA BENDA
Jihad dengan harta bermaksub sanggup menjadikan hartanya sebagai alat utama untuk melakukan jihad kerana Allah S.W.T dan tidak menjadikan diri mereka sebagai hamba kepada harta dengan sifat bakhil dan tamak kepada harta sehingga tidak mahu membelanjakan hartanya untuk berjihad pada jalan Allah.
Al-Quran beberapa kali menyebut tentang jihad harta yang menyatakan perintah Allah S.W.T kepada orang yang beriman supaya membelanjakan hartanya kepada jalan Allah. Diantara firmannya di dalam surah At-Taubah ayat 41 yang bermaksub : “ Berangkatlah kamu dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah”. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Hujuraat ayat 15 yang bermaksub : “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar”.
Pengorbanan dalam bentuk harta ini ternyata amat bermakna dalam perjuangan menegakkan islam sejak zaman Rasullullah s.a.w lagi. Jihad dengan harta akan dapat membangunkan diri manusia menjadi maju, membangunkan keluarga dan menghapuskan kemiskinan, dapat membangunkan masyarakat di dalam semua bidang dan membuatkan umat islam tidak bergantung kepada orang lain malahan disegani dan dihormati. Jihad harta juga membolehkan segala usaha dan jihad-jihad lain dapat dilakukan dengan jayanya serta membolehkan umat islam menyahut sebarang cabaran masa kini dan masa akan datang.

            4.      JIHAD MENENTANG KEMUNGKARAN DAN KEZALIMAN
Merujuk kepada sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksub : “ Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya (ditegah) dengan tangannya, dan jika tidak berkuasa (berbuat demikian) hendaklah ia menegahnya dengan lidah, dan jika tidak berkuasa dengan lidah, maka ubahlah dengan hati, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Merujuk kepada hadis di atas, jihad ini mempunyai tiga (marhalah) iaitu yang Pertama, berjihad dengan menggunakan tangan, jihad ini akan terlaksana jika seseorang yang berjihad itu mempunyai kuasa, maksubnya dapat merubah masyarakat dari kegelapan maksiat kepada cahaya kebaikan dan rahmat. Kuasa yang dimaksubkan boleh jadi kuasa kekuatan tubuh badan atau kuasa politik, kuasa ekonomi, kuasa pendidikan atau kuasa-kuasa yang lain. Jihad Kedua iaitu dengan menggunakan lidah di mana lidah digunakan bagi merubah atau membentuk masyarakat kepada kebaikan. Menggunakan lidah untuk perubahan seperti bercakap, berceramah, berucap, berpidato mengajak dan menyeru, serta melarang, member amaran, nasihat, teguran atau berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, semua ini adalah jihad dengan lidah. Jihad yang Ketiga iaitu jihad dengan hati. Rasa benci dan tidak suka dengan kemungkaran dan kezaliman, tidak setuju/redha kepada maksiat dan perkara-perkara mungkar yang berlaku.

No comments:

Post a Comment