Monday 8 July 2013

TIGA KONSEP ASAS PERPADUAN DAN INTEGRASI



 
Pelbagai proses yang dikaitkan dengan konsep perpaduan dan integrasi seperti proses asimilasi. Amalgamansi dan pluralisme.
            1       ASIMILASI
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik yang mempunyai berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identity yang sama. Konsep ini berhubungan dengan penyerapan sehala individu/kelompok ke dalam kelompok yang lain. Menurut seorang pakar sosiologi, Vander Zanden menyatakan, asimilasi ialah satu proses dalam mana-mana kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama.
Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh berbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Contohnya, orang Melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hamper semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C = A, di mana A mewakili golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti.
Pada dasarnya proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik yang berbeza budaya bagi suatu tempoh yang agak lama. Kejayaan dan keberkesanan asimilasi pada umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.

Di negara kita Malaysia, seperti apa yang berlaku ke atas masyarakat Cina Kelantan, Jawa, Baba dan Nyonya merupakan salah satu contoh berlakunya proses asimilasi. Walaubagaimanapun ianya hanya berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama. Dalam sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah mengamalkan kepelbagaian kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen mereka walaupun bersifat kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi sentimen bersama dan beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk Malaysia yang lain dan begitu juga sebaliknya samada dari segi pemakanan, pakaian dan sebagainya.

Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi adalah salah satu pendekatan yang terbaik di dalam usaha membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen, sekurang-kurangnya dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Contohnya apabila dilihat melalui konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan bahasa nenek moyang mereka. Di sini amat jelas bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halus terdapat perbezaannya. Budaya Bab Nyonya, India Peranakan dan Arab Peranakan ini dengan jelas telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen.

Kurangnya pengetahuan kebudayaan sesama kaum sehingga menimbulkan perasaan takut terhadap budaya kaum lain memang tidak dapat dinafikan dirasai oleh setiap rakyat atau kaum di Malaysia. Malahan timbul juga perasaan bahawa budaya etnik merka lebih tinggi daripada budaya etnik lain dan sebagainya dan ini menimbulkan perbezaan kepentingan antara etnik-etnik yang terlibat. Ini merupakan halangan tersirat yang menghalang proses asimilasi daripada berlaku.

Pada pendapat saya, proses asimilasi seharusnya dibiarkan berlaku secara evolusi serta semulajadi. Sebarang percubaan atau usaha untuk mewujudkan asimilasi secara paksaan pasti akan menemui banyak halangan dan kegagalan. Yang pasti konsep asimilasi yang diamalkan oleh Malaysia adalah berbeza dengan konsep yang diamalkan oleh negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik tidak dilenyapkan malahan digabung dan disatukan menjadi identiti dan budaya Malaysia seperti Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.
 
            2       AMALGAMASI

Amalgamasi merupakan satu proses penyatuan pelbagai kumpulan etnik dari segi biologi. Dalam proses ini, semua entiti kebudayaan pelbagai kumpulan dicampuradukkan melalui perkahwinan campur dan akhirnya mewujudkan satu bangsa atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka. Proses ini kebiasaannya memakan masa yang lama dan akan melalui beberapa generasi.

Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C = D, di sini A,B dan C mewakili kumpulan etnik yang berlainan dan D mewakili kumpulan baru (amalgam) yang terhasil daripada penyatuan A,B dan C itu tadi.

Proses amalgamasi merupakan proses yang boleh dilakukan secara “campurtangan” (interventionist) dan sedar oleh beberapa kumpulan etnik atau pemerintah , di dalam usaha untuk mencantumkan beberapa unsur berbeza daripada kumpulan yang berbeza ke dalam satu entiti yang bersatu, samada secara sementara atau berkekalan dan contohnya seperti wujudnya Sekolah Wawasan oleh pihak kerajaan.

Saya merasakan proses amalgamasi adalah satu proses yang berguna di dalam memupuk perpaduan di dalam negara kita Malaysia tapi ianya jarang digunakan atau didapati di Malaysia.

            3       PLURALISME

Konsep ini adalah bertentangan dengan dasar asimilasi amalgamasi. Pluralisme merujuk kepada suatu bentuk integrasi yang sering dirujuk sebagai proses “perpaduan dalam kepelbagaian” di mana kepelbagaian dilihat sebagai suatu kekuatan bagi sesebuah negara yang memilikinya.

Teori pluralisme dinyatakan dalam bentuk A+B+C = A+B+C , di mana A,B dan C yang mewakili etnik mengekalkan ciri-ciri kelompok dan budaya masing-masing. Konsep ini mempertahankan kepelbagaian kumpulan etnik dalam masyarakat. Di Malaysia kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum majority yang lain adalah bebas di dalam menjaga ciri-ciri bangsa dan budaya mereka masing-masing. Konsep pluralisme ini adalah bertentengan sama sekali dengan konsep asimilasi dan amalgamasi. Konsep ini menyatakan bahawa kepelbagaian adalah satu kekuatan dan kelebihan bagi sesebuah negara yang mengamalkannya dan percantuman pelbagai etnik sudah pasti akan mengayakan lagi warisan sesebuah masyarakat itu sendiri.

Konsep pluralisme ini boleh dibahagikan kepada dua (2) jenis iaitu Pluralisme Kebudayaan dan Pluralisme Ubahsuaian.

                        3.1    Pluralisme Kebudayaan

Pluralisme kebudayan dinyatakan di dalam bentuk formula Ab + Bb + Cb = Ab + Bb + CAb. Formula ini membawa maksub bahawa kumpulan etnik masih mengekalkan kepelbagaian kumpulan etnik tetapi serba sedikit telah terpengaruh dengan budaya etnik lain hasil daripada interaksi setempat dan persekitaran mereka.  Pengubahsuaian ini berlaku apabila kumpulan etnik yang mempertahankan kepelbagaian menerima serba sedikit budaya etnik lain.  

Di Malaysia proses integrasi dan perpaduan nasional yang diusahakan oleh kerajaan boleh dicapai walaupun setiap kaum atau etnik lebih cenderung untuk mempertahan atau mengekalkan identiti kehidupan mereka masing-masing. Pengekalan ciri-ciri kebudayaan termasuk  kebudayaan kelompok minoriti berasaskan andaian asas di mana semua kelompok etnik atau kaum mempunyai hak terhadap warisan psikologi masing-masing, perbezaan dalam kebudayaan manusia adalah perkara biasa dan tidak dapat dielakkan namun akhirnya kepelbagaian ini akan menjadi pemangkin di dalam mengukuh dan menstabilkan negara. Dengan kepelbagaian budaya yang ada, kini Malaysia adalah salah satu negara pelancongan yang dikenali di seluruh dunia.

                        3.2    Pluralisme Ubahsuaian
Pluralisme Ubahsuian ini turut dinyatakan di dalam bentuk formula di mana A + B + C =  A1 + B1 + C1 di mana A1, B1 dan C1 merupakan etnik atau kaum yang sudah mengubah atau terpengaruh oleh budaya etnik lain. Mereka sudah mengubah amalan budaya asal kesan daripada interaksi dengan masyarakat/ etnik setempat.
Proses integrasi ini merupakan proses yang paling banyak berlaku dan meluas di negara kita Malaysia di mana ianya dapat dilihat melalui pertukaran budaya antara bangsa Melayu, Cina dan India, contohnya apabila dilihat dari sudut pilihan makanan, di mana orang melayu menerima roti canai, orang India menerima Yong Tau Fu manakala orang Cina menerima dan meminati nasi lemak.

9 comments: