Berdasarkan
nas-nas Al-Quran terdapat dua (2) pembahagian besar terhadap jihad iaitu yang Pertama; Jihad Agong iaitu jihad ke
atas nafsu serta menentang tipu daya syaitan dan yang Kedua; Jihad kecil iaitu meliputi bentuk-bentuk jihad yang lain
seperti jihad dengan hati (berdoa), jihad dengan lisan (nasihat dan tutur kata)
atau penulisan , jihad dengan ilmu dan pelajaran (memberi/mencari pengetahuan),
jihad dengan harta dan seterusnya jihad dengan tubuh badan dan nyawa.
1. JIHAD NAFSU
Jihad
melawan hawa nafsu adalah jihad yang paling tinggi sekali darjat di sisi islam.
Melaluinya seluruh tenaga disalurkan supaya menuruti/mengikuti jalan atau
ketetapan yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Jihad nafsu bermaksub jihad
untuk membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan
keji untuk diganti dan diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.
Dengan
kata lain, jihad hawa nafsu merupakan jihad untuk mentaati Allah S.W.T, patuh
dan tunduk pada perintahnya sepanjang masa. Tergolong dalam Jihad Agung kerana
medan perjuangannya yang amat luas, tidak terbatas dan terhad bagi menangkis
musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Termasuk
juga di dalam jihad melawan hawa nafsu adalah jihad melawan hasutan syaitan.
Menurut Ibn Al-Qaiyim, jihad ini dapat dilakukan dengan dua (2) cara iaitu, Pertama : dengan cara menolak bisikan
yang dilemparkan ke dalam hati, samada perasaan was-was, syak wasangka atau
keraguan yang boleh mengoncangkan keimanan seseorang. Kedua: dengan melawan hasutan atau bisikan syaitan di dalam hati yang
sentiasa mengajak melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.
Dalil
yang boleh dikaitkan dengan jihad melawan hawa nafsu adalah seperti dalam surah as-Syams ayat 7-10
yang bermaksub : “ Dan demi jiwa serta penyempurnaan penciptaannya, maka Allah mengilhamkan
kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketakwaan. Sesesungguhnya beruntunglah
orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang
mengotorinya”.
Dengan
kata lain perjuangan ini adalah perjuangan dalam diri setiap orang muslim di
mana berjuang melawan hawa nafsu agar ia tunduk dan patuh untuk beramal kepada
ajaran islam yang sebenar. Jihad ini menuntutkan kepada jihad yang berpanjangan
dan ianya adalah jihad fardu ain ke atas setiap orang islam. Apabila setiap
muslim gagal menundukkan hawa nafsu mereka untuk berbakti kepada Allah S.W.T
maka adalah mustahil bagi mereka untuk berdaya memerangi musuh yang berada
diluar, kerana mereka masih terkongkong oleh nafsunya sendiri.
2. JIHAD ILMU
Jihad
ini merangkumi tiga (3) maksub yang utama iaitu yang pertama, berjihad untuk mempelajari petunjuk (ilmu yang
bermanafaat), agama yang sebenar (amal soleh) dan tanpa mencari dan mempelajari
ilmu sudah pasti orang islam tidak akan mencapai kejayaan dan kebahagiaan dunia
dan akhirat. Kedua, berjihad untuk mengamalkan
ilmu setelah mengetahuinya dan yang ketiga,
berjihad untuk menyampaikan ilmu (dakwah) dan mengajarkannya kepada mereka
yang belum mengetahui.
Melalui
jihad ilmu, manusia diminta untuk mencari ilmu pengetahuan yang diredhai oleh
Allah S.W.T dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Memiliki ilmu
pengetahuan, samada ilmu agama mahupun ilmu pengatahuan yang lain sangatlah
dituntut di dalam islam. Pada pandangan islam, jihad ilmu dianggap sebagai satu
aspek yang suci dan mempunyai mertabatnya yang tersendiri.
Melalui
jihad ilmu, ilmu pengetahuan yang diperolehi diibaratkan sebagai lampu penyuluh
ataupun cahaya yang akan menyuluh kegelapan di mana seseorang tidak akan dapat
berjalan di dalam gelap tanpa bantuan cahaya lampu tersebut. Jikalau dilihat
dari segi realiti sekarang ini, ia adalah seperti seseorang yang membezakan
perbuatan yang baik dengan yang buruk hanya dengan ilmu pengetahuan yang telah
dipelajari.
Jihad
ilmu juga telah dibuktikan melalui tinggalan sejarah perjuangan Rasullullah
s.a.w di mana baginda menganjurkan pencarian ilmu sehingga jauh ke negeri lain.
Islam tidak hanya mewajibkan seseorang itu menuntut ilmu, tetapi menghendaki
juga agar seseorang itu agar terus menerus melakukan usaha pencarian belajar
atau lebih tepat lagi sebagai proses jihd ilmu.
3. JIHAD WANG DAN HARTA BENDA
Jihad
dengan harta bermaksub sanggup menjadikan hartanya sebagai alat utama untuk
melakukan jihad kerana Allah S.W.T dan tidak menjadikan diri mereka sebagai
hamba kepada harta dengan sifat bakhil dan tamak kepada harta sehingga tidak
mahu membelanjakan hartanya untuk berjihad pada jalan Allah.
Al-Quran
beberapa kali menyebut tentang jihad harta yang menyatakan perintah Allah S.W.T
kepada orang yang beriman supaya membelanjakan hartanya kepada jalan Allah.
Diantara firmannya di dalam surah At-Taubah ayat 41 yang bermaksub : “
Berangkatlah kamu dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan
harta dan dirimu di jalan Allah”. Firman Allah S.W.T di dalam surah
Al-Hujuraat ayat 15 yang bermaksub : “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman
kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad
dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang
benar”.
Pengorbanan
dalam bentuk harta ini ternyata amat bermakna dalam perjuangan menegakkan islam
sejak zaman Rasullullah s.a.w lagi. Jihad dengan harta akan dapat membangunkan
diri manusia menjadi maju, membangunkan keluarga dan menghapuskan kemiskinan,
dapat membangunkan masyarakat di dalam semua bidang dan membuatkan umat islam
tidak bergantung kepada orang lain malahan disegani dan dihormati. Jihad harta
juga membolehkan segala usaha dan jihad-jihad lain dapat dilakukan dengan
jayanya serta membolehkan umat islam menyahut sebarang cabaran masa kini dan
masa akan datang.
4. JIHAD MENENTANG KEMUNGKARAN DAN KEZALIMAN
Merujuk
kepada sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksub : “ Sesiapa antara kamu yang
melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya (ditegah) dengan tangannya,
dan jika tidak berkuasa (berbuat demikian) hendaklah ia menegahnya dengan
lidah, dan jika tidak berkuasa dengan lidah, maka ubahlah dengan hati, yang
demikian itu adalah selemah-lemah iman”.
Merujuk
kepada hadis di atas, jihad ini mempunyai tiga (marhalah) iaitu yang Pertama,
berjihad dengan menggunakan tangan, jihad ini akan terlaksana jika seseorang
yang berjihad itu mempunyai kuasa, maksubnya dapat merubah masyarakat dari
kegelapan maksiat kepada cahaya kebaikan dan rahmat. Kuasa yang dimaksubkan
boleh jadi kuasa kekuatan tubuh badan atau kuasa politik, kuasa ekonomi, kuasa
pendidikan atau kuasa-kuasa yang lain. Jihad Kedua iaitu dengan menggunakan lidah di
mana lidah digunakan bagi merubah atau membentuk masyarakat kepada kebaikan.
Menggunakan lidah untuk perubahan seperti bercakap, berceramah, berucap,
berpidato mengajak dan menyeru, serta melarang, member amaran, nasihat, teguran
atau berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, semua ini adalah jihad
dengan lidah. Jihad yang Ketiga iaitu jihad dengan hati. Rasa benci dan tidak
suka dengan kemungkaran dan kezaliman, tidak setuju/redha kepada maksiat dan
perkara-perkara mungkar yang berlaku.
No comments:
Post a Comment