TIGA MASALAH UTAMA YANG DIHADAPI OLEH PELAJAR-PELAJAR BARU ATAS TALIAN
1. Masalah Pengurusan Masa
Menurut Schilke (2001) ”Terlalu sibuk dengan kerja lain, gangguan daripada kerja lain, hal rumah dan tempat belajar, kekurangan masa untuk belajar atas talian dan faktor pengurusan masa adalah masalah-masalah yang terpaksa dihadapi oleh pelajar-pelajar baru di atas talian”. Pembahagian masa diantara kerjaya, keluarga, aktiviti sosial dan pembelajaran menjadi masalah utama yang perlu ditempuhi oleh pelajar-pelajar terutamanya bagi pelajar-pelajar baru. Kesibukan dengan kertas kerja yang diberi oleh Pusat Pengajian, kesibukan dengan kerja-kerja pejabat yang perlu diuruskan, kesibukan dengan keluarga, kerja rumah amat memeningkan kepala dan memberi banyak masalah kepada pelajar-pelajar terutama kepada pelajar-pelajar yang baru menempuh alam pembelajaran secara atas talian ini. Bagi pelajar-pelajar baru ianya seolah-olah seperti satu kejutan budaya bagi mereka kerana mereka akan menghadapi kekurangan dan kekangan masa yang pasti ianya akan membawa kesan negatif dan boleh menganggu fokus mereka terhadap pembelajaran. Bagi pelajar-pelajar yang telah bekerja dan berumahtangga masalah ini adalah lebih kritikal dan jika tidak diatasi dengan bijak pasti akan membawa impak negatif kepada pembelajaran mereka. Bagi mengatasi masalah ini, formula-formula hendaklah dicari agar tidak berlaku gangguan-gangguan negatif dan pembelajaran dapat difokus dengan baik dan berkesan.
2 Motivasi Diri
Menurut Gross (1992), mendefinisikan motivasi adalah sama sukar seperti mendefinisi psikologi dan ini adalah disebabkan kajian motivasi melibatkan faktor pendorong dan faktor penghalang dari segi biologi, sosial ataupun psikologi dalam usaha mengatasi kemalasan kita dan mendorong kita secara diingini ataupun tidak diingini kepada tindakan yang yang dikehendaki. Prestasi motivasi diri yang semakin menurun dari hari ke hari merupakan salah satu masalah utama di dalam pembelajaran di atas talian atau pembelajaran secara online ini. Sebagai pelajar baru di atas talian sudah pasti kita terpaksa menempuh pelbagai halangan dan kesusahan kerana kita belum pernah menghadapi situasi pembelajaran seperti ini. Masalah ini kebiasaannya wujud disebabkan pelajar itu sendiri dan sikapnya di dalam menerima pembelajaran. Gagal dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran merupakan salah satu faktor yang menyebabkan gangguan negatif terhadap motivasi diri pelajar. Selain daripada itu, masalah di tempat kerja, masalah atau krisis keluarga, masalah kewangan, kurang sokongan dari rakan-rakan, kurang sokongan dari majikan juga merupakan faktor yang menurunkan motivasi pelajar-pelajar terutamanya kepada pelajar-pelajar baru. Kalau diperhatikan motivasi antara pelajar-pelajar di atas talian yang mendapat tajaan dan pelajar-pelajar yang menggunakan perbelanjaan sendiri juga agak berbeza motivasinya. Bagi mereka yang mendapat tajaan mereka akan belajar hanya setakat untuk lulus sahaja dan berbeza dengan mereka yang belajar menggunakan perbelanjaan sendiri di mana faktor ini akan memotivasikan diri mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang. Yang pasti masalah dorongan diri yang semakin menurun untuk mengikuti pembelajaran akan menyebabkan timbulnya perasaan malas dan menerima pembelajaran secara lewa akan terpalit kepada diri pelajar-pelajar.
3 Masalah Gangguan Stress
”Lessard (1998) mendapati stress bukan sahaja dialami oleh orang-orang dewasa, tetapi malahan turut dialami oleh pelajar-pelajar Universiti. Ini kerana Universiti merupakan persekitaran yang unik yang seringkali menuntut pelajar menyumbangkan pelbagai peranan dan tugas yang perlu dilaksanakan”. Bagi pelajar-pelajar baru di dalam sistem pembelajaran di atas talian mereka akan mengalami gangguan stress yang berganda jika hendak dibandingkan dengan pembelajaran secara tradisional. Masalah akan datang dari pelbagai sudut dan dari segenap aspek yang pasti akan menganggu perasaan dan emosi dan secara tidak langsung akan memberi stress atau tekanan perasaan kepada pelajar-pelajar. Menurut Wright (1967) kebiasaannya stress akan dialami dalam pelbagai keadaan seperti rasa kesunyian, kurang tidur, keresahan, kebimbangan yang tinggi serta simpton-simpton fisiologi yang ditunjukkan kesan daripada sesuatu peristiwa yang dialami. Apabila berlaku stress, faktor fizikal dan rohani akan terganggu dan stress itu boleh menjadi negatif ataupun positif. Stress yang positif akan memastikan kita sentiasa berjaga-berjaga, mendorong kita agar lebih bermotivasi di dalam menghadapi cabaran atau rintangan serta membawa kita di dalam mencari jalan penyelesaian. Manakala stress atau tekanan perasaan negatif adalah masalah ataupun impak negatif yang boleh menganggu pelajar-pelajar samada dari segi kesihatan mental dan fizikal, personaliti dan juga prestasi pembelajaran itu sendiri. Menurut Campbell dan Svenson (1992), apabila stress dilihat dari segi aspek negatif atau tekanan yang terlalu tinggi, ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap tahap kesihatan dan pencapaian akademik para pelajar. Bagi pelajar-pelajar baru kebiasaannya faktor yang selalu memberi tekanan dan menimbulkan stress ialah kesuntukkan masa di dalam menyiapkan kertas kerja yang diberi, kurang kemahiran di dalam perkakasan komputer, kurang mahir di dalam menggunakan sumber-sumber yang disediakan seperti kemudahan MyVLE yang disediakan oleh pihak OUM, bebanan kerja di pejabat yang semakin bertambah dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment